DERETAN kedai dibakar oleh perusuh di Papua. - AFP
DERETAN kedai dibakar oleh perusuh di Papua. - AFP
Agensi

WAMENA, PAPUA, INDONESIA: “Ada mangsa mati terbakar, sebahagian lagi dibelasah sampai mati...Ada yang maut kerana terperangkap dalam bangunan yang dibakar,” kata pemerintah tentera Indonesia di Papua, Chandra Dianto.

AFP melaporkan, beliau berkata demikian ketika sidang media mengumumkan jumlah korban rusuhan terbaru di Papua yang meningkat kepada 30 orang.

“Kami masih membongkar runtuhan bangunan, kedai dan rumah bagi mencari kemungkinan ada mangsa lain,” katanya.

Menurutnya, sebahagian besar mangsa ialah pendatang dari wilayah lain, bukannya penduduk tempatan.

Reuters melaporkan, ada juga mangsa maut akibat dipanah dalam rusuhan membabitkan ratusan orang yang turut membakar bangunan kerajaan.

Menurut Ketua Polis Negara Indonesia, Tito Karnavian, 22 penduduk dari luar Papua yang tinggal di Wamena terbunuh bersama empat penduduk tempatan manakala 66 lagi cedera.

Antara mangsa terbabit ialah pemandu teksi motosikal serta pekerja kedai dan restoran.

Menurutnya, dalam rusuhan di bandar utama wilayah itu, Jayapura, seorang tentera mati ditikam dan tiga orang awam terbunuh.

KERETA terbakar dan diterbalikkan. - AFP
KERETA terbakar dan diterbalikkan. - AFP

Menurut Tito, sebahagian besar mangsa dari luar Papua itu datang dari Pulau Jawa, Sulawesi Selatan dan kepulauan Moluccas.

Penduduk Papua menganggap pendatang dari wilayah lain merampas ekonomi mereka sejak bekas Presiden Suharto menggalakkan penghijrahan ke wilayah itu dengan menawarkan peluang perniagaan, pekerjaan dalam sektor kerajaan dan subsidi.

Aktivis mendakwa rusuhan di Jayapura berpunca daripada pihak berkuasa menyerang pelajar yang berdemonstrasi manakala keganasan di Wamena tercetus akibat kenyataan perkauman seorang guru yang kemudian disahkan polis sebagai palsu.

Polis sudah menahan 733 orang, termasuk pelajar yang menyertai tunjuk perasaan di Jayapura.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 1:00 PM