PETUGAS kesihatan memunggah tangki oksigen di sebuah hospital di Lhokseumawe, Aceh. FOTO
PETUGAS kesihatan memunggah tangki oksigen di sebuah hospital di Lhokseumawe, Aceh. FOTO
Agensi

Jakarta: Indonesia memperluas langkah sekatan bagi mengatasi penularan Covid-19.

Sebelum ini, perintah itu hanya berkuat kuasa di Pulau Jawa dan Bali.

Sekatan itu akan dilaksanakan ke atas puluhan bandar dan diperluas dari barat di Pulau Sumatera hingga ke wilayah paling timur, Papua.

Langkah itu susulan penularan varian Delta.

"Kes juga meningkat di wilayah lain dan kita perlu melihat persediaan hospital," kata Menteri Kanan, Airlangga Hartarto seperti dilaporkan AFP.

Airlangga turut memberitahu keputusan kerajaan melanjutkan sekatan pergerakan sehingga 20 Julai depan.

Hospital di Indonesia kini mengalami tekanan berikutan pertambahan bilangan pesakit

Semalam, negara itu berterusan merekodkan lonjakan kes positif baharu Covid-19.

Bernama melaporkan kes harian, semalam, melepasi angka 31,000, iaitu jumlah tertinggi sejak kes pertama dikesan pada Mac 2020.

Sebanyak 728 lagi kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam, iaitu jumlah kematian harian tertinggi direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan kematian kini meningkat kepada 61,868 orang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 4:54 PM