PPKM Tahap 4 dilanjutkan lagi di Pulau Jawa dan Bali bermula hari ini sehingga 16 Ogos ini. FOTO EPA
PPKM Tahap 4 dilanjutkan lagi di Pulau Jawa dan Bali bermula hari ini sehingga 16 Ogos ini. FOTO EPA
BERNAMA

Jakarta: Pemerintah Indonesia kembali membenarkan kegiatan sosioekonomi di luar Pulau Jawa dan Bali yang berstatus Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) Tahap 3.

Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tahap 3 menunjukkan bagi setiap 100 ribu penduduk kawasan, zon atau wilayah tertentu pada setiap minggu, jumlah jangkitan Covid-19 adalah antara 50 hingga 150 orang, selain angka kematian adalah dua hingga lima kes.

Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Indonesia, Airlangga Hartarto dalam sidang media menerusi webinar berkata, sebanyak 302 kabupaten dan kota di luar Pulau Jawa dan Bali kini berstatus PPKM Tahap 3.

"Menerusi PPKM Tahap 3 di luar Jawa-Bali, pemerintah membenarkan kembali sekolah dibuka dengan protokol kesihatan yang ketat dengan kuota maksimum (kehadiran pelajar) di kelas hanya 50 peratus.

"Selain itu, rumah-rumah ibadat boleh dibuka dengan maksimum 20 orang, pusat-pusat beli-belah dibenarkan dibuka dengan jumlah pengunjung hanya maksimum 50 peratus dan beroperasi hingga 8 malam," katanya.

Bagaimanapun, PPKM Tahap 4 dilanjutkan lagi di Pulau Jawa dan Bali bermula hari ini sehingga 16 Ogos ini.

Mengikut WHO, Tahap 4 menunjukkan angka kes positif Covid-19 setiap minggu bagi setiap 100 ribu penduduk lebih daripada 150 kes dan lebih daripada 5 kes kematian.

Mengikut Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), setakat semalam, jumlah kes positif keseluruhan di Indonesia kini melebihi 3.6 juta kes, dengan jumlah kematian sebanyak 108,571 orang, manakala lebih 440,000 pesakit aktif (sedang dirawat).


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 3:10 PM