GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
AFP

New Delhi: Menjual ubat-ubatan palsu sehinggalah alat pemadam api yang dijual sebagai silinder oksigen dan kelengkapan perlindungan diri (PPE) kitar semula, begitulah penipuan dilakukan segelintir individu di India yang mengambil kesempatan terhadap penularan Covid-19 di negara itu.

Chandrakant, suami kepada Komal Taneja, meninggal dunia akibat sesak nafas di kediamannya di New Delhi bulan lalu, apabila bekas oksigen yang dibeli pada harga 15,000 rupee (RM826) di internet, tidak tiba di rumah mereka.

"Kami bermati-matian berusaha mencari katil hospital selama seminggu, namun dua hospital swasta meminta kami membayar sejuta rupee (RM56,600)," kata Komal dalam nada sebak ketika dihubungi AFP.

"Kami kemudian menemui seorang penjual dalam talian yang berjanji menghantar silinder oksigen dalam tempoh sejam dengan bayaran 15,000 rupee.

"Selepas bayaran dibuat, mereka meminta wang tambahan, dan selepas itu tidak lagi memberi maklum balas," katanya.

Chandrakant, 36, yang bekerja di bursa saham, terkorban akibat Covid-19 pada 1 Mei lalu.

Isterinya yang juga suri rumah, terpaksa mencari pekerjaan bagi menampung perbelanjaan rawatan ibu bapanya yang sakit.

India memiliki sejarah yang panjang dalam penipuan dan pemerdayaan orang awam, termasuk individu di luar negara itu menjadi mangsa.

Antaranya pada Disember tahun lalu, polis menyerbu pusat panggilan yang didakwa menipu sejumlah AS$14 juta (RM57.8 juta) daripada 4,500 rakyat Amerika Syarikat (AS).

Kumpulan penipuan itu menyamar sebagai pegawai AS dan memberitahu mangsa akaun bank mereka digunakan oleh kartel dadah, dan mangsa perlu menukar aset mereka kepada bitcoin, yang kemudian akan ditukar kepada tunai oleh sindiket berkenaan.

Kes penipuan lain termasuklah membabitkan polis dan doktor pada 2019, yang menyaksikan ratusan penduduk kampung di Haryana diisytiharkan maut dalam kemalangan jalan raya, untuk tuntutan palsu insurans.

Penyiasat mengatakan kini penipuan beralih kepada pesakit Covid-19 dan keluarga mereka yang terdesak mendapatkan rawatan berikutan India mengalami lonjakan penularan wabak itu.

Narang, seorang eksekutif sebuah syarikat swasta di Noida, mendakwa dia ditipu ketika mencari bekalan oksigen untuk rakan yang sakit.

"Saya menemui pautan (di internet) pembekal yang kelihatan asli, bahkan (pembekal) mempunyai katalog dengan model (silinder oksigen) yang berbeza. Harganya juga kompetitif," kata Narang kepada AFP.

"Saya berhubung dengan seseorang di telefon. Dia meminta sekitar 45,000 rupee (RM2,544) untuk dua bayaran ansuran. Saya yakin ia asli dan mengesyorkan pembekal ini kepada kenalan lain. Bekalan oksigen itu tidak pernah sampai," katanya.

Kes ini adalah salah satu daripada sekurang-kurangnya 600 siasatan yang dilancarkan polis di New Delhi sahaja dalam beberapa minggu kebelakangan ini ketika ramai penduduk negara itu sangat memerlukan oksigen, katil hospital dan ubat-ubatan.

"Penjenayah (penipu) ini melihat (penularan Covid-19 yang dahsyat) ini sebagai saat yang tepat untuk membuat penipuan," kata pegawai kanan polis Delhi, Shibesh Singh kepada AFP.

Shibesh memberitahu, polis sudah menangkap banyak penipu, termasuk kumpulan yang membuat dan menjual palsu ubat antivirus Remdesivir hingga 40 kali ganda harga pasaran.

"Mereka ini menghasilkan antivirus palsu (Remdesivir) yang harganya sekitar 20 rupee (RM1.13) dan menjualnya di pasaran dengan harga lebih dari 10,000 rupee (RM565.32)," katanya.

Dalam kes lain, sindiket penipuan ini mengecat semula alat pemadam api dan menjualnya sebagai silinder oksigen, sementara ada juga melakukan penyamaran dengan berpakaian sebagai doktor menawarkan katil hospital yang tidak ada.

Minggu ini, enam lelaki dilaporkan ditangkap kerana disyaki mencuci, membaiki semula dan menjual beberapa tan sarung tangan pembedahan terpakai dari hospital.

"Kami berharap orang ramai untuk lebih berhati-hati apabila cuba mendapatkan bantuan dalam talian," kata Shibesh lagi.

Sebilangan mangsa menuntut kerajaan negara itu menjatuhkan hukuman berat kepada penipu ini. "Gantung semuanya," kata Narang.

"Jika tidak, kerajaan harus memastikan hukuman penjara seumur hidup kepada mereka. Ini bukan hanya membabitkan mental atau kewangan, mereka bermain dengan nyawa manusia."

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 2:03 PM