KANGUJAM menggunakan wang sendiri membeli oksigen. FOTO AGENSI
KANGUJAM menggunakan wang sendiri membeli oksigen. FOTO AGENSI
Agensi

New Delhi: Terkesan dengan krisis kesihatan terburuk melanda India, seorang kanak-kanak sanggup menggunakan wang simpanannya membeli 100 mesin oksigen untuk pesakit Covid-19.

Licypriya Kangujam, 9, yang dikenali sebagai Greta of India berkata, dia menempah 100 mesin oksigen dengan nilai 50,000 rupee (RM2,763) setiap satu.

"Saya memesan 100 mesin oksigen dan 10 daripadanya akan tiba di India dalam beberapa hari ini.

"Saya akan cuba sedaya upaya menggunakan wang simpanan dalam membantu negara.

"Malah, saya juga sedang mengumpul dana daripada anugerah yang diterima tahun lalu," katanya dalam portal India Times.

Aktivis alam sekitar itu berkongsi perkembangan itu menerusi Twitter turut mengajak orang ramai menyumbang untuk menyelamatkan ribuan nyawa pesakit Covid-19.

"Sejumlah 100 saja memang tidak cukup. Tolong sumbang untuk bantu saya beli lebih banyak. India sedang nazak," katanya.

Pada Selasa lalu, Kangujam turut merayu kepada kerajaan Taiwan dengan menghubungi Menteri Luar, Joseph Wu untuk membantu India menangani krisis kesihatan terburuk terutama dalam kekurangan oksigen.

"Tuhan memberkati India dan rakyatnya yang luar biasa. Kami akan sedaya upaya membantu.

"Kementerian saya berbincang dengan kerajaan, doakan ia berjaya," demikian maklum balas Wu dikongsikan Kangujam dalam satu tangkap layar.

Susulan itu, pada pagi Khamis lalu, Taiwan mengumumkan negara itu akan menghantar 150 mesin oksigen ke India minggu ini selain berjanji Taiwan akan menghantar lebih banyak lagi bantuan selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 6:40 AM