KAKITANGAN memakai pakaian perlindungan diri ketika bertugas merawat pesakit Covid-19 di sebuah hospital di India. FOTO AFP
KAKITANGAN memakai pakaian perlindungan diri ketika bertugas merawat pesakit Covid-19 di sebuah hospital di India. FOTO AFP
AFP

New Delhi: India perlu bersedia untuk penularan gelombang ketiga dan terdesak untuk mendapatkan bantuan bekalan oksigen daripada negara lain, kata pegawai rasmi kerajaan pada Rabu.

Amaran itu ketika negara itu kini berdepan kekurangan katil dan bekalan oksigen, dengan kes kematian harian tertinggi direkodkan iaitu 3,780 di samping 382,000 kes baharu.

Penasihat saintifik utama kepada Kerajaan India, K Vijay Raghavan berkata, negara itu perlu bersiap sedia untuk menangani penularan gelombang penularan seterusnya.

"Fasa ketiga adalah berkemungkinan besar memandangkan tahap tinggi penularan virus ini. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan bila fasa ketiga ini akan berlaku. Kita mesti bersedia dengan gelombang baharu," katanya dalam sidang media.

Dengan kerajaan berdepan dengan masalah pesakit yang mati di jalanan di luar hospital kerana ketiadaan katil, bekalan oksigen dan kelengkapan perubatan kini tiba dari Amerika Syarikat (AS), Perancis, Britain, Rusia dan negara lain sejak beberapa hari lalu.

Seorang pegawai kerajaan lain berkata, India memerlukan lebih banyak bantuan bekalan oksigen untuk merawat pesakit sehingga angka kes dapat distabilkan.

"Kita tidak mempunyai bekalan oksigen yang cukup," katanya yang enggan mendedahkan identitinya kepada pemberita.

India juga mendesak AS dan negara lain sudah memudahkan kawalan eksport untuk bahan mentah bagi ubat koronavirus termasuk remdesivir dan tocilizumab, jelas pegawai itu lagi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 9:09 AM