PENDUDUK Palestin mengadakan persembahan hiburan berhampiran runtuhan Menara Hanadi yang musnah susulan serangan rejim zionis Israel di Semenanjung Gaza. FOTO AFP
PENDUDUK Palestin mengadakan persembahan hiburan berhampiran runtuhan Menara Hanadi yang musnah susulan serangan rejim zionis Israel di Semenanjung Gaza. FOTO AFP
AFP

Kaherah: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran mengenai keperluan perubatan mendesak di wilayah Palestin selepas serangan rejim zionis Israel di Semenanjung Gaza, bulan lalu.

Pejabat WHO Wilayah Timur Mediterranean dalam satu kenyataan berkata, pihaknya meningkatkan usaha untuk menyediakan bantuan perubatan kepada hampir 200,000 orang di wilayah Palestin.

"WHO amat memberi perhatian... dan menggesa akses untuk bantuan kemanusiaan dan bekalan barangan keperluan bukan berkaitan pembangunan semula, dan petugas untuk memasuki Semenanjung Gaza dan untuk membawa keluar pesakit dari Gaza, jika diperlukan," kata kenyataan itu.

Serangan rejim zionis di Semenanjung Gaza selama 11 hari itu membunuh 254 penduduk Palestin, termasuk 66 kanak-kanak, kata pihak berkuasa.

Di pihak Israel, konflik itu menyebabkan 12 orang maut termasuk seorang kanak-kanak dan seorang askar.

Menurut WHO, konflik itu menyebabkan 77,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing dengan kira-kira 30 fasiliti kesihatan rosak.

Israel mengenakan sekatan darat dan laut di Semenanjung Gaza sejak wilayah itu dikuasai Hamas pada 2007.

Ia menempatkan kira-kira dua juta penduduk Palestin.

Pintu sempadan Rafah adalah satu-satunya laluan keluar masuk ke Gaza yang tidak dikawal oleh Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 10:51 AM