Jack Ma
Jack Ma
AFP

Beijing: Jutawan China yang juga pengasas syarikat gergasi e-dagang Alibaba, Jack Ma, akan meletak jawatan sebagai presiden sekolah perniagaan elit yang dibangunkannya.

Menurut laporan Financial Times (FT), tindakan terhadap jutawan itu adalah susulan operasi besar-besaran kerajaan China terhadap gergasi media sosial di negara itu.

Baru-baru ini, Ma, yang juga antara usahawan paling terkenal di China, dilaporkan hilang dari penampilan awam sejak syarikat e-dagang Alibaba disiasat dan didenda oleh pengawal selia atas dakwaan monopoli.

FT, yang memetik sumber, melaporkan bahawa Universiti Hupan, sebuah akademi elit untuk eksekutif perniagaan China ditubuhkan di kampung Ma di Hangzhou pada 2015, kini menukar namanya dan akan menyusun semula kurikulumnya.

Difahamkan, Ma tidak akan memegang sebarang jawatan pada peringkat tinggi dalam institusi yang disusun semula itu, kerana Beijing berusaha untuk menyekat pengaruhnya.

Sebuah video viral di media sosial China awal bulan ini, menunjukkan pekerja binaan sedang melakukan kerja-kerja membuang beberapa karektor pada papan tanda 'Universiti Hupan' yang besar.

Bulan lalu FT melaporkan Universiti Hupan terpaksa menangguhkan pendaftaran pelajar baru selepas mendapat tekanan dari Beijing yang kini menyiasat syarikat milik Ma itu.

Dalam siri tindakan menekan kumpulan syarikat itu, Alibaba didenda sebanyak 18.2 bilion yuan (AS$2.8 bilion) oleh pihak berkuasa antimonopoli bulan lalu dan kumpulan kewangannya, Ant Financial, diperintah menyusun semula perniagaannya.

Tekanan ke atas Alibaba dipercayai bermula selepas Ma, dalam satu ucapan pada Oktober lalu, mengkritik institusi kewangan China yang dikatakan ketinggalan zaman.

Tindakan keras kerajaan China itu turut membabitkan syarikat pesaing Alibaba dalam sektor teknologi China, berikutan pengawal selia kerajaan bimbang pengaruh syarikat teknologi boleh mengalahkan bank negara China.

Sejak meletak jawatan sebagai pengerusi Alibaba pada 2019, Ma, bekas guru sekolah, menabur bakti dalam pelbagai kegiatan kebajikan dan projek pendidikan.

Bagaimanapun, sehingga kini Universiti Hupan dan Alibaba tidak memberikan sebarang reaksi berhubung laporan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 8:39 PM