Najib mendengar penerangan   Jack Ma ketika  singgah  di Hangzhou semalam untuk melihat operasi Alibaba Group.
Najib mendengar penerangan Jack Ma ketika singgah di Hangzhou semalam untuk melihat operasi Alibaba Group.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yakin Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang baru dilancarkan akan menjadi hab baru ekonomi digital dengan lebih ramai rakyat Malaysia di bandar dan luar bandar memperoleh manfaatnya.

Menurutnya, DFTZ pasti belajar daripada kejayaan e-dagang China, Alibaba Group dan menambah bahawa kumpulan itu nampak jauh ke hadapan dan cepat mengaplikasikan cara baru untuk berdagang dalam abad ke-21.

“Saya kagum terhadap kejayaan Alibaba. Dalam tempoh 13 tahun saja transaksinya mencecah 3 trilion yuan atau hampir RM1.9 trilion.

“Sepanjang Festival Beli-belah Dunia tahun lalu, Alibaba memproses sejumlah 175,000 tempahan sesaat semasa puncak!,” katanya dalam catatan di Facebook dan Twitter, semalam.

Najib singgah di Hangzhou semalam untuk melihat operasi Alibaba Group. Perdana Menteri juga menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Hangzhou Municipal Government & Alibaba Group (China) Company Limited.

MoU itu antara usaha yang dilaksanakan Malaysia bagi menjayakan projek DFTZ yang dilancarkan Najib dan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group Jack Ma, yang juga Penasihat Ekonomi Digital kepada Kerajaan Malaysia, pada 22 Mac lalu.

“Menerusi DFTZ, ekosistem perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan keusahawanan akan berubah dan menjadi lebih eksklusif. Diunjur menyaksikan peningkatan rantaian nilai serta 60,000 pekerjaan baru!,” kata Najib.

DFTZ disasarkan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan menyediakan kemudahan e-dagang merentas sempadan untuk PKS yang sebelum ini sukar menembusi pasaran antarabangsa.

Ia antara lain menyediakan kawasan di Kuala Lumpur International Airport Aeropolis sebagai kemudahan logistik dan penyimpanan serta prosedur pembiayaan dan pelepasan kastam yang lebih pantas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2017 @ 4:36 AM