SYARIKAT Alibaba di Shanghai. FOTO AFP
SYARIKAT Alibaba di Shanghai. FOTO AFP
AFP

Shanghai: Syarikat gergasi e-dagang, Alibaba didenda 18.2 bilion yuan (AS$2.78 bilion atau RM11.5 bilion) atas amalan dan salah guna kedudukan dominan syarikat dalam perdagangan.

Agensi berita Xinhua melaporkan, pihak berkuasa perniagaan China mengenakan denda sebanyak itu selepas menamatkan siasatan antimonopoli ke atas Alibaba yang bermula sejak Disember lalu.

Alibaba, syarikat e-dagang China yang diasaskan oleh Jack Ma mengatakan pihaknya menerima hukuman dan akan menyusun rancangan Isnin ini bagi memastikan operasinya patuh peraturan.

Denda itu adalah tindakan tegas pemerintah terhadap platform teknologi utama China, dan Alibaba khususnya, atas tuduhan tingkah laku anti persaingan dan penyalahgunaan data pengguna.

Siasatan yang dijalankan tertumpu terhadap Alibaba yang didakwa hanya membenarkan peniaga menjual barang menerusi platform syarikat mereka sahaja dan tidak boleh berbuat demikian dalam laman web e-dagang lain.

"Sejak 2015, Kumpulan Alibaba menyalahgunakan kedudukannya yang dominan di pasaran dengan syarat eksklusif.

"Syarat itu merugikan persaingan, inovasi, dan kepentingan pedagang dan pengguna," katanya.

Jumlah denda yang dikenakan itu berdasarkan hasil jualan syarikat terbabit pada tahun 2019, iaitu sebanyak 455.7 bilion yuan

Tidak lama setelah keputusan itu diumumkan, Alibaba mengeluarkan kenyataan berjanji untuk membuat perubahan untuk melindungi persaingan yang adil.

"Kami menerima hukuman dengan ikhlas dan akan memastikan kepatuhan kami," katanya.

Tambah syarikat itu, pihaknya akan mengadakan persidangan dalam talian dengan pelabur pada hari Isnin untuk berbincang berhubung pengembangan perniagaan jangka panjang yang sihat di masa depan.

"Kami komited untuk memastikan persekitaran operasi untuk peniaga dan rakan kongsi yang lebih terbuka, lebih adil, lebih cekap dan lebih inklusif dalam berkongsi hasil pertumbuhan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 2:05 PM