LAPANGAN Terbang Antarabangsa Logan Boston. FOTO AP
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Logan Boston. FOTO AP
AP

Boston: Lelaki dari Massachusetts, Amerika Syarikat (AS) mencetuskan panik apabila membuka pintu kecemasan sebuah pesawat dari Los Angeles ke Boston.

Lelaki itu juga bertindak agresif apabila cuba menikam seorang pramugari di leher dengan sudu besi yang patah, dakwa pendakwa raya persekutuan pada Isnin.

Francisco Severo Torres, 33, dari Leominster, bagaimanapun berjaya dihalang dengan bantuan penumpang dan anak kapal.

Pejabat peguam AS di sini dalam satu kenyataan memaklumkan Torres ditahan pada Ahad di Lapangan Terbang Antarabangsa Logan Boston ketika pesawat United Airlines 2609 itu, mendarat.

Kenyataan sama memberitahu Torres didakwa cuba mengganggu kru penerbangan menggunakan senjata berbahaya.

Lelaki itu didakwa di mahkamah persekutuan, pada Isnin, dan menunggu perbicaraan yang dijadualkan pada Khamis.

Difahamkan, insiden berlaku selepas 45 minit berlepas, sebaik ada isyarat daripada penggera bahawa pintu sisi pesawat itu dibuka, kata pendakwa raya.

Menurut pihak berkuasa, seorang pramugari menyedari pemegang pengunci pintu dialihkan keluar dari kedudukan terkunci sepenuhnya.

Anak kapal segera mengunci semula pintu berkenaan.

Ia kerana pintu pesawat tidak boleh dibuka ketika penerbangan kerana ia memberi kesan kepada tekanan kabin.

Menurut kertas pertuduhan, Torres memberitahu penyiasat bahawa dia pergi ke bilik air pesawat dan menggunakan sudu untuk membuat senjata.

Sebaik keluar dari tandas, Torres cuba membuka pintu pesawat untuk melompat keluar tetapi tidak berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 9:47 AM