PHIL Stringer (duduk tengah) bergambar dengan anak kapal selepas menjadi satu-satunya penumpang pesawat American Airlines yang diberi ganjaran menaiki penerbangan kelas pertama. FOTO Agensi
PHIL Stringer (duduk tengah) bergambar dengan anak kapal selepas menjadi satu-satunya penumpang pesawat American Airlines yang diberi ganjaran menaiki penerbangan kelas pertama. FOTO Agensi
Agensi

Washington: Kesabaran lelaki dari Amerika Syarikat (AS) menunggu penerbangan yang tertangguh selama 18 jam tidak sia-sia apabila diberi ganjaran tiket penerbangan kelas pertama.

Portal NDTV memetik New York Post melaporkan, ganjaran itu sangat istimewa kerana memberi peluang kepada Phil Stringer menjadi satu-satunya penumpang dalam pesawat dan berparti dengan anak kapal.

Pesawat itu membawa Stringer pulang dari Oklahoma City ke Charlotte, North Carolina.

Dalam temu bual dengan Insider, Stringer terharu membuat kru American Airlines muncul hanya untuknya dan mengubah suasana menjadi pesta di awan biru.

"Saya pergi ke pintu pagar dan tiada sesiapa di sana. Adakah semua penumpang sudah menaiki pesawat? soal Stringer.

"Tidak, sayang, awak satu-satunya penumpang," kata pramugari bertugas.

Menerusi perkongsian video dimuat naik Stringer di TikTok, anak kapal dilihat bergelak ketawa bersamanya ketika mereka melakukan rutin keselamatan pesawat.

Mereka juga menamatkan mesej pembesar suara mereka dengan, "Dan ya, Phil, mesej ini hanya untuk anda."

Terdahulu, Stringer cuba menukar waktu penerbangannya beberapa kali tanpa dan menghabiskan 18 jam menunggu di lapangan terbang kerana perlu pulang ke rumah untuk kembali ke tugasnya sebagai ketua pegawai operasi broker hartanah sebelum mendapat kejutan menaiki penerbangan istimewa.

Ketika dalam penerbangan, Stringer dihidangkan makanan dan minuman yang terbaik.

"Ya, ia adalah hari yang membosankan. Tiada siapa yang mahu tinggal di lapangan terbang selama 18 jam, tetapi jika kamu positif, kamu boleh mengubah sesuatu menjadi sangat menyeronokkan," katanya.

Stringer memberitahu dia menghabiskan masa dalam pesawat dengan berbual, bergurau dan ketawa antara satu sama lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 12:04 PM