GAMBAR Hiasan.
GAMBAR Hiasan.
Reuters

BELGRADE: Seorang warga emas mengaku membuat panggilan ancaman bom palsu untuk menghalang pramugari pesawat Lufthansa dari meninggalkan Serbia dengan harapan wanita itu akan keluar dengannya.

Lelaki berusia 65 tahun itu membuat pengakuan terbabit ketika dihadapkan di sebuah mahkamah di Serbia hari ini.

Dia mendedahkan membuat panggilan palsu itu selepas gagal menghubungi seorang pramugari yang disukainya di hotel dan terdesak untuk bertemu dengan wanita itu.

Sebelum itu, lelaki terbabit berkenalan dengan dua pramugari dan mengajak mereka makan malam, namun pelawaannya ditolak.

Tindakannya menyebabkan seramai 130 penumpang dan lima anak kapal terpaksa meninggalkan penerbangan LH 1411 ke Frankfurt, Jerman kelmarin.

Pesawat terbabit dipindahkan dari landasan sebelum pasukan khas polis membuat pemeriksaan.

Polis berjaya menjejak panggilan itu dan menahan lelaki terbabit sehari selepas kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 9:49 PM