LOGO Facebook dan Instagram kelihatan dalam ilustrasi pada 19 Januari 2023. FOTO Reuters
LOGO Facebook dan Instagram kelihatan dalam ilustrasi pada 19 Januari 2023. FOTO Reuters
Bernama-UPI

Washington: Meta hari ini mengumumkan bahawa ia melancarkan perkhidmatan pengesahan berbayar untuk Instagram dan Facebook, dengan bayaran bulanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Meta Mark Zuckerberg berkata, pengguna perlu membayar AS$11.99 (RM54) sebulan jika menggunakan aplikasi laman sesawang dan AS$14.99 (RM67.5) sebulan di telefon bimbit untuk tanda semak biru.

"Meta Verified sedang dilancarkan di AS hari ini.

"Anda boleh mendapatkan lencana, perlindungan penyamaran proaktif dan akses terus kepada sokongan pelanggan," lapor United Press International (UPI) memetik kenyataan Zuckerberg menerusi Saluran Meta di Instagram.

Menurut maklumat dalam talian, pengguna tidak dibenarkan menggunakan satu langganan Meta Verified bagi kedua-dua akaun Instagram dan Facebook dan perlu melanggan setiap aplikasi secara individu.

Perkhidmatan langganan itu pertama kali dilancarkan di Australia dan New Zealand bulan lepas dan memerlukan kad pengenalan untuk mengesahkan identiti.

Pengguna juga tidak dibenarkan menukar nama profil, nama pengguna, foto dan lain-lain melainkan mereka memfailkan semula proses pengesahan.

Pengguna juga perlu berumur 18 tahun untuk layak bagi perkhidmatan pengesahan.

Bagaimanapun, pengguna Facebook dan Instagram yang sudah disahkan tidak perlu membayar.

– BERNAMA-UPI

TAG: Meta, Facebook, Instagram, perkhidmatan pengesahan berbayar

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 11:23 AM