MARK Zuckerberg. FOTO AFP
MARK Zuckerberg. FOTO AFP
Agensi

New York: Mark Zuckerberg buat pertama kali sejak 2020, mengatasi nilai kekayaan Elon Musk, sekali gus menjadikannya orang ketiga terkaya di dunia, lapor Bloomberg.

Musk, 52, yang menduduki tempat pertama dalam Indeks Bilionair Bloomberg, baru-baru ini, pada awal Mac, jatuh ke tempat keempat selepas Reuters melaporkan Tesla Inc membatalkan rancangan untuk mengeluarkan kereta yang kurang mahal, menyebabkan prestasi sahamnya merosot.

Menyusuli berita itu pada awal minggu, penghantaran kenderaan Tesla jatuh dalam tiga bulan hingga Mac, penurunan tahun ke tahun pertama mereka, sejak pandemik Covid-19.

Kekayaan Musk dilapor menyusut sebanyak AS$48.4 bilion (kira-kira RM229 bilion) tahun ini. Zuckerberg menambah nilai kekayaan menjadi AS$58.9 bilion (kira-kira RM279 bilion) ketika saham Meta Platforms Inc naik ke paras tertinggi baharu, termasuk rekod baharu pada Jumaat.

Ini kali pertama Zuckerberg, 39, menduduki tempat tiga teratas dalam kedudukan orang terkaya Bloomberg sejak 16 November 2020, apabila nilai kekayaannya bernilai AS$105.6 bilion (kira-kira RM501 bilion) dan kekayaan Musk adalah AS$102.1 bilion (kira-kira RM484 bilion).

Musk kini mempunyai nilai bersih kekayaan AS$180.6 bilion (kira-kira RM857 bilion) dan Zuckerberg, nilai bersih kekayaannya sebanyak AS$186.9 bilion (kira-kira RM867 bilion).

Perbandingan jurang kekayaan antara Musk dan Zuckerberg, yang berjumlah AS$215 bilion pada November 2021, menggambarkan bagaimana stok kenderaan elektrik yang pernah mendominasi pasaran dirampas oleh teknologi besar, dan terutamanya apa sahaja yang membabitkan kecerdasan buatan (AI).

Saham Tesla juga jatuh 34 peratus tahun ini, menjadikannya prestasi terburuk dalam Indeks S&P 500. Ia berpunca oleh kelembapan global dalam permintaan EV, persaingan yang semakin meningkat di China dan masalah pengeluaran di Jerman.

Sementara itu, saham Meta melonjak 49 peratus, susulan pendapatan suku tahunan yang kukuh dan keterujaan mengenai inisiatif AI syarikat itu. Ia adalah prestasi kelima terbaik dalam Indeks S&P 500.

Persaingan kedua-dua jutawan itu melangkaui kekayaan mereka. Musk dan Zuckerberg sudah terbabit dalam pertelingkahan awam yang berterusan ditambah lagi apabila Meta melancarkan Threads, platform media sosial yang bersaing dengan X.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2024 @ 11:26 AM