AFP

Washington: Selepas beberapa jam Meta melancarkan aplikasi Threads, Twitter mengancam mahu saman syarikat berkenaan.

Dalam surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg, yang diterbitkan saluran berita dalam talian Semafor semalam, peguam Elon Musk, Alex Spiro mendakwa syarikat itu sebagai penyalahgunaan haram rahsia perdagangan Twitter dan harta intelek lain.

Surat itu menuduh Meta mengupah puluhan bekas pekerja Twitter yang mempunyai akses kepada rahsia perdagangan Twitter dan maklumat sulit lain.

Threads ialah pencabar terbesar Twitter yang dimiliki Musk.

Zuckerberg mengambil kesempatan daripada pemilikan Twitter Musk yang huru-hara dengan melancarkan produk baharu itu, yang Meta harapkan akan menjadi platform pilihan untuk selebriti, syarikat dan ahli politik.

ELON Musk (kiri) dan Mark Zuckerberg. FOTO AFP
ELON Musk (kiri) dan Mark Zuckerberg. FOTO AFP

Tindakan terbaru Zuckerberg menentang Musk meningkatkan lagi persaingan antara dua bilionair terbabit.

Threads disiarkan secara langsung di kedai aplikasi Apple dan Android di 100 negara mulai 11 malam Rabu lalu.

Zuckerberg berkata, lebih 30 juta orang berjaya memuat turun Thread dalam beberapa jam selepas pelancarannya.

"Rasanya seperti permulaan sesuatu yang istimewa, tetapi kami mempunyai banyak kerja untuk membina aplikasi itu," tulis Zuckerberg pada akaun Threads rasmi miliknya semalam.

Zuckerberg berkata, walaupun perlu mengambil masa, namun dia merasakan perlunya aplikasi seumpama itu dengan lebih satu bilion pengguna.

"Twitter mempunyai peluang untuk melakukan ini tetapi tidak berjaya melakukannya. Mudah-mudahan kami akan melakukannya," katanya.

Setakat ini, antara akaun sudah aktif termasuk selebriti seperti Jennifer Lopez, Shakira, Oprah Winfrey dan Hugh Jackman serta saluran media, The Washington Post dan The Economist.

Sementara itu, Twitter pula berkata, platform itu mempunyai lebih 200 juta pengguna setiap hari.

Musk pula membuat ciapan semula imej yang menyindir logo Threads menyerupai cacing pita.

Dalam catatan lain yang merujuk potensi tindakan undang-undang Twitter terhadap Meta, Musk menyatakan, persaingan memang baik, tetapi tidak untuk menipu.

Threads diperkenalkan sebagai spin-off Instagram, memberikannya lebih banyak potensi audiens dalam lebih dua bilion pengguna dan menyelamatkan platform baharu daripada cabaran untuk bermula dari awal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 11:43 AM