MARK Zuckerberg. FOTO fail AP
MARK Zuckerberg. FOTO fail AP
Agensi

New York: Kekayaan Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg merosot sebanyak AS$70 bilion (kira-kira RM319.7 bilion), menjadikan beliau kini individu ke-20 terkaya di dunia.

Zuckerberg bermula dengan kekayaan sebanyak AS$125 bilion (kira-kira RM570.9 bilion) pada awal tahun ini, menurut Indeks Bilionair Bloomberg.

Namun, kekayaan itu menurun kepada AS$55.3 bilion (kira-kira RM252.5 bilion) dengan penurunan 55 peratus.

Forbes bagaimanapun menganggarkan kekayaannya sebanyak AS$53.4 bilion (kira-kira RM243.8 bilion).

Meta yang memiliki platform Facebook (FB), Instagram (IG), WhatsApp dan Oculus, terjejas sejak 12 bulan lalu.

Ia berlaku selepas Zuckerberg berkata, syarikat itu menggunakan metaverse dan kemudian melancarkan penjenamaan semula besar-besaran, pada Oktober lalu.

FB kemudian melaporkan penurunan pertama penggunanya apabila kehilangan kira-kira satu juta pengguna aktif harian pada suku terakhir 2021.

Jenama itu juga berdepan kontroversi pada musim luruh lalu apabila pemberi maklumat Frances Haugen membocorkan maklumat daripada dokumen dalaman syarikat.

Selain itu, Haugen mendakwa dia melihat penyelidikan dalaman yang mendapati IG menyumbang kepada gangguan makan dan pemikiran remaja perempuan untuk membunuh diri.

Pendapatan bersih Meta jatuh 36 peratus atau lebih daripada AS$3 bilion (kira-kira RM13.7 bilion) pada suku kedua 2021.

Syarikat itu berkata, AS$10 bilion (kira-kira RM45.7 juta) dibelanjakan untuk pelaburan metaverse pada 2021 atau 50 peratus daripada perbelanjaan modalnya.

Meta memaklumkan, sehingga April lalu terdapat lebih 10,000 orang bekerja pada projek metaverse.

"Perniagaan metaverse tidak menjadi penyumbang utama kepada perniagaan sehingga sekurang-kurangnya dalam tempoh sedekad.

"Ia mungkin secara realistik dekad ini adalah menetapkan asas dan pada 2030 yang akan menyumbang besar kepada keuntungan syarikat," kata Zuckerberg dalam mesyuarat pemegang saham tahunan syarikat pada Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 11:15 AM