PIHAK berkuasa menyiasat di lokasi kejadian enam maut ditembak seorang lelaki. FOTO AP
PIHAK berkuasa menyiasat di lokasi kejadian enam maut ditembak seorang lelaki. FOTO AP
BERNAMA

Arkabutla, Mississippi: Seorang lelaki bersenjata mengamuk di sebuah bandar kecil Mississippi pada Jumaat, membunuh bekas isterinya dan lima yang lain di tiga lokasi berasingan.

Bagaimanapun, lelaki itu Richard Dale Crum, 51 berjaya ditangkap timbalan sherif, kata sherif daerah dan saksi.

Pertumpahan darah itu berlaku di Arkabutla, sebuah kawasan dusun luar bandar yang mempunyai kurang 300 penduduk di Tate County di utara Mississippi.

Crum, 51, didakwa melakukan pembunuhan peringkat pertama, kata Sheriff Tate County, Brad Lance kepada pemberita.

Presiden Joe Biden mengecam kejadian tembakan itu dan menggesa kongres untuk menggubal kawalan senjata termasuk pemeriksaan latar belakang, larangan senjata serangan dan keperluan menyimpan senjata api yang selamat.

"Saya dan Jill berkabung atas kejadian enam yang terbunuh dalam keganasan di Tate County, Mississippi, hari ini," kata Biden dalam kenyataan.

SUSPEK kejadian tembak yang membunuh enam orang. FOTO AFP
SUSPEK kejadian tembak yang membunuh enam orang. FOTO AFP

Setakat ini, penyiasat belum dapat memastikan motif kejadian, namun Lance berkata, siasatan akan bermula dengan meneliti hubungan suspek dengan bekas isterinya.

Lance berkata, pada mulanya pihak berkuasa menerima panggilan mengenai kejadian tembakan di kedai serbaneka sebuah stesen minyak.

Namun, sebelum timbalan sherif tiba mereka menerima panggilan lain mengenai tembakan kedua di rumah berdekatan, katanya.

Seorang lelaki ditembak mati di dalam kedai, manakala seorang wanita dipercayai bekas isteri Crum ditemui mati di dalam rumah, kata Lance.

Menurutnya, timbalan sherif kemudian menjejaki suspek di jalan masuk sebuah rumah lain dan menahannya tanpa bergelut.

Rumah itu adalah kediaman Crum dan pihak polis menemui empat lagi mayat, masing-masing dua di belakang rumah dan jalan raya.

Suspek mungkin mempunyai hubungan keluarga dengan mangsa yang ditemui di belakang rumah.

Sementara mangsa lain dipercayai pekerja di tapak projek.

"Kami tidak menemui kesan kekerasan dan ia mengejutkan," kata Lance.

Timbalannya menemui senapang patah dan dua pistol daripada suspek.

Seorang lelaki yang menyaksikan kejadian di kedai itu berkata, dia mengeluarkan pistolnya dan mempertimbangkan untuk menembak suspek, yang bersenjatakan senapang patah, namun tidak berbuat demikian.

Sebaliknya, saksi berkenaan, Ethan Cash memberitahu Reuters, dia merawat seorang lelaki yang ditembak di dalam keretanya di luar kedai dan mendapati dia sudah tidak bernyawa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 12:21 PM