Tyler Monk. FOTO Agensi
Tyler Monk. FOTO Agensi
Agensi

New Orleans: Seorang lelaki di Amerika Syarikat (AS) mengalami penyakit misteri apabila warna kulitnya yang cerah bertukar kelabu gelap selepas mengambil ubat antikemurungan.

The Sun melaporkan, Tyler Monk, 34, diberi ubat itu tahun lalu, selepas merujuk dengan doktor mengenai masalah kesihatan mentalnya.

Monk diberi Fluoxetine, sejenis ubat antikemurungan dikenali sebagai perencat pengambilan semula serotonin terpilih (SSRI), yang biasanya ditetapkan untuk merawat kemurungan.

Dia mula mengambil ubat itu pada Mei tahun lalu, namun isterinya, Monk, Emily, 28, menyedari warna kulitnya berubah dalam tempoh seminggu.

Monk yang bekerja sebagai inspektor kawalan serangga perosak berhenti mengambil ubat itu selepas hanya beberapa minggu selepas menyedari ia tidak berkesan memulihkan kesihatan mentalnya, sebaliknya mengakibatkan kulitnya terus menjadi gelap.

Awalnya, telinganya bertukar warna, sebelum ia merebak dengan cepat ke leher dan mukanya serta kemudian, di lengan dan juga tangannya.

Monk juga mengalami simptom lain seperti mata yang sangat merah, menjadi rengsa dan kulitnya kini sangat sensitif kepada matahari serta terasa seperti terbakar.

WARNA tangan Monk yang didakwa bertukar kerana ubat. FOTO Agensi
WARNA tangan Monk yang didakwa bertukar kerana ubat. FOTO Agensi

Lelaki itu ada bertemu dengan beberapa pakar berhampiran rumahnya di Kinder, Louisiana, sejak perubahan warna kulitnya, tetapi tidak mendapat jawapan terhadap keadaannya itu.

Doktor menolak ia berpunca daripada penyakit serius, keracunan dan keadaan autoimun tetapi mereka masih tidak dapat memberitahu sebabnya.

Monk menemui pakar dermatologi sebelum dirujuk kepada pasukan terdiri daripada lapan pakar kulit.

Menjelang pertemuan dengan pakar, Monk akan menjalani imbasan tomografi berkomputer (CAT) di perutnya dan darahnya akan diambil.

"Saya tidak dapat sebarang jawapan daripada pakar jadi kami memutuskan untuk memuat naik video di TikTok. Kami berpendapat bahawa tidak ada salahnya untuk berkongsi dalam talian, jadi mari kita lihat sama ada orang lain di luar sana pernah mengalami perkara ini atau mungkin ada jawapan untuk kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 12:00 PM