FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
AFP

London: Seorang pegawai polis Britain yang menggunakan senjata perenjat ke atas bekas bintang bola sepak Aston Villa, Dalian Atkinson dan menyepak kepalanya dua kali, didapati bersalah membunuh tanpa niat, hari ini.

Juri di Mahkamah Birmingham Crown mengambil masa hampir 19 jam untuk menjatuhkan hukuman ke atas Benjamin Monk, yang mengaku ketakutan akibat tindakan bekas pemain bola sepak itu, dalam kejadian pada 15 Ogos 2016.

Juri masih belum membuat keputusan mengenai dakwaan serangan membabitkan rakan sejawat dan bekas teman wanita Monk iaitu konstabel polis Mary Ellen Bettley-Smith.

Atkinson adalah penyerang ternama Aston Villa dalam kempen Liga Perdana Inggeris pada awal 1990-an, selain bermain untuk Sheffield Wednesday, Ipswich dan Real Sociedad.

Monk memberitahu mahkamah, dia lari dalam ketakutan apabila Atkinson, yang mengalami masalah mental, membuat ugutan bunuh dan memecahkan cermin kaca pintu di bandar kelahirannya di Telford, 48 kilometer dari Birmingham.

Pegawai polis berusia 43 tahun itu menyatakan, bekas pemain bola sepak itu cuba bangun selepas disepak di bahu dalam langkah terakhir mempertahankan diri berikutan katrij senjata perenjat tidak berfungsi.

Atkinson, 48, mengalami serangan jantung ketika dibawa dengan ambulans dari tempat kejadian dan disahkan meninggal dunia di hospital, kira-kira sejam selepas terkena renjatan.

Rekod menunjukkan Monk mengaktifkan senjata perenjat itu lapan kali untuk tempoh lebih 80 saat menggunakan tiga katrij perenjat dan melakukan penyebaran selama 33 saat iaitu enam kali lebih lama berbanding standard.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 9:21 PM