KEADAAN Dr Hu selepas pulih daripada Covid-19. FOTO Agensi
KEADAAN Dr Hu selepas pulih daripada Covid-19. FOTO Agensi
Agensi

WUHAN: Selepas lima bulan menderita, seorang doktor China yang kulitnya bertukar gelap selepas pulih daripada Covid-19 akhirnya meninggal dunia, kelmarin.

Portal Kompas melaporkan Dr Hu Weifeng, 42, menerima rawatan intensif selama dua bulan sebelum menghembuskan nafas terakhir di hospital.

Menurut doktor kanan di Hospital Tongji di sini, keadaan Dr Hu bertambah baik pada Mac lalu sebelum mengalami pendarahan otak.

Katanya, doktor berkenaan kemudian menjalani pembedahan dan selepas itu berada dalam keadaan koma seterusnya meninggal dunia.

"Kami melakukan pembedahan untuk mengeluarkan cairan dari otaknya pada Sabtu lalu (30 Mei)," katanya kepada South China Morning Post.

DR HU WEIFENG. FOTO Agensi
DR HU WEIFENG. FOTO Agensi

Pemergian Dr Hu menjadikan lima doktor di hospital di sini meninggal dunia selepas dijangkiti Covid-19.

Namun, pengurusan hospital masih belum mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung kematian Dr Hu.

Dr Hu dijangkiti Covid-19 ketika merawat seorang pesakit di Hospital Pusat Wuhan pada Januari lalu.

Selain Dr Hu, rakannya, Dr Yi Fan, 42, turut menerima nasib sama apabila kulitnya menjadi gelap dipercayai kesan pengambilan ubat ketika rawatan Covid-19.

Perubahan warna kulit itu dipercayai akibat ketidakseimbangan hormon selepas mengalami kerosakan hati akibat virus itu.

Dr Yi dan Dr Hu bekerjasama dengan seorang lagi doktor, Li Wenliang, individu pertama yang mengesan virus itu, sebelum lelaki itu disahkan meninggal dunia pada 7 Februari lalu.

Kedua-dua doktor itu didiagnosis pada 18 Januari lalu dan pertama kali dibawa ke Hospital Pulmonari Wuhan dan kemudian dipindahkan dua kali ke hospital lain, menurut stesen penyiaran CCTV.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 6:30 AM