MONK dipecat  Middlesbrough selepas menewaskan  Sheffield Wednesday.
MONK dipecat Middlesbrough selepas menewaskan Sheffield Wednesday.
AFP

LONDON: Middlesbrough memecat pengurus pasukannya, Garry Monk hanya beberapa jam selepas membantu kelab itu mencatat kemenangan 2-1 ke atas Sheffield Wednesday dalam aksi Kejuaraan.

Monk mula memegang jawatan berkenaan di Middlesbrough pada Jun lalu, namun bekas pengurus Swansea dan Leeds itu dilihat tidak mampu bagi mencapai sasaran dinaikkan ke divisyen seterusnya.

Middlesbrough yang melakar 10 kemenangan daripada 23 perlawanan liga di bawah Monk kini berada di tangga kesembilan, tiga mata di belakang Aston Villa - kelab yang layak beraksi di perlawanan playoff.

“Kelab Bola Sepak Middlesbrough sudah melepaskan pengurus, Garry Monk,” umum kelab itu dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Monk pernah mengendali Swansea dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada 2014 dan 2015 sebelum membantu Leeds meraih penamat ketujuh dalam Kejuaraan musim lalu.

Dia tidak mencapai persetujuan dalam tawaran lanjutan di Leeds di bawah pemilik baharu, Andrea Radrizzani, meninggalkan kelab itu Mei lalu untuk meneruskan kerjayanya di Boro.

Middlesbrough mempunyai harapan tinggi untuk layak secara automatik di bawah kendalian Monk selepas diturunkan dari saingan Liga Perdana Inggeris, Mei lalu.

Namun mereka dilihat sudah tersasar daripada sasaran diletakkan dan ura-ura mengenai posisi Monk mula diperkatakan dua hari sebelum sambutan Krismas.

“Kelab ingin berterima kasih kepada Garry atas segala usaha dan dedikasi yang dipamerkan. Diharap dia akan lebih berjaya di masa depan,” kata kelab itu lagi.

“Pengurus akademi kelab, Craid Liddle akan mengurus pasukan secara sementara sebelum lantikan baharu diputuskan.”

Perlawanan pertama Middlesbrough tanpa kendalian Monk ialah melayan kunjungan Bolton, Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 4:07 PM