London: Garry Monk (gambar) dipecat sebagai pengurus Swansea City selepas sekadar menang satu daripada 11 perlawanan Liga Perdana, umum kelab Wales itu kelmarin.

Monk, 36, mengemudi Swansea ke tangga kelapan musim lalu pada musim sulungnya mengendalikan pasukan itu namun beliau terpaksa menerima padah selepas keputusan yang menyaksikan kelab itu hanya satu mata di atas zon penyingkiran.

“Keputusan ini dibuat dengan rasa berat hati,” ujar pengerusi Swansea Huw Jenkins dalam satu kenyataan di laman web kelab itu.

“Untuk mendapati situasi semasa kami berbanding di mana kami berada pada minggu pertama September dan memandangkan penurunan tahap persembahan serta keputusan dalam tempoh tiga bulan terakhir, kami terpaksa membuat keputusan yang tidak menyenangkan ini.”

Pemecatan Monk sudah dijangka dengan Jenkins memberitahu wartawan “sesuatu perlu diubah” ketika kunjungan ke London, Selasa lalu.

Sejak menang 2-1 ke atas Aston Villa pada 24 Oktober lalu, Swansea hanya meraih satu mata daripada maksimum 15 dalam liga selain tewas 0-3 di laman sendiri kepada pendahulu liga Leicester, Sabtu lalu.

Bekas pertahanan tengah, Monk menyertai Swansea dari Barnsley pada 2004 dan mengemudi kelab itu melonjak dari divisyen empat selain menjadi kapten kelab ketika meraih tempat ke Liga Perdana menerusi play-off pada 2011. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2015 @ 8:13 AM