POLIS merampas kokain yang cuba diseludup ke Australia itu. FOTO Polis Australia Barat
POLIS merampas kokain yang cuba diseludup ke Australia itu. FOTO Polis Australia Barat
Reuters

Sydney: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dan Australia berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa bernilai AS$677 juta (kira-kira RM3.03 bilion).

Operasi AS dan Australia itu berjaya memintas pengedaran 2.4 tan kokain di atas kapal di luar pantai Amerika Selatan yang dalam perjalanan menuju ke Australia.

Kokain itu yang dikaitkan dengan kartel dadah Mexico, mempunyai nilai kira-kira AS$677 juta dan bersamaan dengan separuh daripada anggaran penggunaan tahunan Australia, menjadikan rampasan itu salah satu rampasan terbesar dalam sejarah polis Australia.

Polis Australia Barat dalam satu kenyataan mengesahkan, seramai 12 suspek termasuk seorang lelaki AS berusia 39 tahun ditangkap dan didakwa dalam kes itu.

Operasi itu bermula November lalu apabila Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah AS (DEA) memintas kapal itu.

Polis Australia Barat menggantikan kargo itu dengan kokain palsu yang dibungkus sama dan menjatuhkannya kira-kira 40 batu nautika ke barat ibu negeri Perth, pada 28 Disember lalu.

Tiga suspek anggota sindiket dadah Australia dengan 1.2 tan kokain palsu ditahan pada 30 Disember, selepas didakwa melakukan tiga perjalanan keluar melalui laut untuk mengambil bungkusan itu.

Sementara itu, sembilan lagi tangkapan dibuat sehingga 13 Januari, termasuk di perhentian lalu lintas di Lebuhraya Great Eastern, kira-kira 600 kilometer timur ibu negeri Perth.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 10:42 AM