Agensi

Panama: Cubaan menyeludup 3.5 tan dadah melalui kargo kapal dari Chile ke Belanda berjaya dipatahkan pada Sabtu.

Ia adalah rampasan terbesar negara itu oleh pegawai Perkhidmatan Aeronaval Nasional Panama (Senan) dari kontena kapal yang transit dari Chile.

"Kami membuat profil kapal yang membawa kontena dari Chile, melalui Panama dengan destinasi terakhir ke Belanda.

"Makluman diaktifkan dan disahkan bahawa terdapat pemalsuan maklumat," kata Ketua Pesuruhjaya Wilayah Kedua Senan, Luis de Gracia.

Ketika pemeriksaan di buat terhadap kapal itu di pelabuhan Pasifik Panama, mereka menemukan 100 beg dengan 3,499 bungkusan barang terlarang itu.

Bagaimanapun jenis dadah yang tiba dari San Vicente, Chile itu belum dapat dikenalpasti.

Panama merekodkan rampasan sebanyak 98.6 tan dadah tahun ini, yang mana sebahagian besarnya adalah kokain, kata Menteri Keselamatan Awam pada 22 Oktober lalu.

Lebih 80 tan diseludup melalui laluan laut dengan 27 tan kokain ditemukan dalam kargo.

Panama adalah negara transit untuk dadah yang dihasilkan di selatan benua itu dengan pasaran utamanya ialah Amerika Utara.

Sebanyak 84.87 tan dadah yang kebanyakan adalah jenis kokain dirampas tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 12:47 PM