GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO AFP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO AFP
AFP

Washington: Twitter semalam menyahaktifkan akaun dikaitkan dengan pemimpin tertinggi Iran yang menyiarkan video menyeru untuk membalas dendam terhadap bekas presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump atas pembunuhan seorang jeneral tertinggi negara itu.

"Akaun yang dirujuk dinyah aktif secara kekal kerana melanggar dasar larangan kami," kata jurucakap Twitter kepada AFP.

Akaun itu, @KhameneiSite, minggu ini menyiarkan video animasi menunjukkan pesawat tanpa pemandu menyasarkan Trump yang bertanggungjawab mengarahkan serangan dron di Baghdad dua tahun lalu untuk membunuh komander tertinggi Iran Jeneral Qassem Soleimani.

Bagaimanapun, akaun utama twitter pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei dalam pelbagai bahasa kekal aktif.

Tahun lalu, satu lagi akaun serupa digantung oleh Twitter kerana satu catatan yang juga merujuk kepada dendam terhadap Trump.

Video baru-baru ini, bertajuk Revenge is Definite, juga disiarkan di laman web rasmi Khamenei.

Menurut Twitter, keutamaan pihaknya adalah memastikan orang ramai berasa selamat, selain menjamin perbualan maya secara sihat di platform itu.

Gergasi media sosial itu berkata, pihaknya mempunyai dasar yang jelas mengenai perbuatan menghamburkan kata-kata kesat dan akan mengambil tindakan apabila pelanggaran itu dikenal pasti.

Sebagai ketua Pasukan Quds, cabang operasi asing Pengawal Revolusi Iran, Soleimani adalah arkitek strateginya di Timur Tengah.

Soleimani dan seorang Leftenan Iraq terbunuh susulan serangan dron AS di luar lapangan terbang Baghdad pada 3 Januari 2020.

Khamenei berulang kali berjanji untuk membalas kematiannya.

Pada 3 Januari, ulang tahun kedua serangan itu, pemimpin tertinggi dan Presiden ultrakonservatif, Ebrahim Raisi, sekali lagi mengancam AS untuk membalas dendam.

Penyokong Trump kerap mengecam pengharaman jutawan Republikan itu daripada Twitter, menggariskan bahawa akaun beberapa pemimpin yang dianggap autoritarian oleh AS dibenarkan untuk menyiarkan di platform.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 3:23 PM