FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Perluaskan lagi maklumat kepentingan dos penggalak vaksin Covid-19 bagi menarik lebih ramai masyarakat mengambil suntikan berkenaan.

Pensyarah Perubatan Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Halimatus Sakdiah Minhat berkata, kekurangan promosi serta maklumat menyebabkan kebanyakan orang sambil lewa atau menganggap dos penggalak tidak begitu penting.

"Mungkin dos penggalak adalah pilihan dan ramai berpendapat ia tidak penting serta beranggapan kesan sampingannya lebih teruk.

"Kurangnya promosi juga menyebabkan ada warga emas tidak perasan janji temu di MySejahtera dan tidak sedar mereka golongan penting perlu ambil dos penggalak ini.

"Mungkin salah satu cara ialah daripada kita tunggu mereka datang lebih baik kita gunakan pendekatan turun padang seperti yang dilakukan dalam program outreach sebelum ini," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kadar pengambilan dos penggalak yang masih rendah serta kurang mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat pada masa ini.

Mengulas lanjut katanya, semua orang perlu ada kesedaran tentang rasional pengambilan dos penggalak iaitu kadar imuniti semakin rendah selepas beberapa tempoh lengkap vaksin serta peranannya dalam mencegah jangkitan serius.

"Ramai terlalu selesa sudah lengkap dua dos vaksin dan merasakan mereka selamat atau dilindungi serta tidak mengetahui imuniti merosot selepas enam bulan pengambilan Pfizer atau lebih awal lagi untuk penerima Sinovac yang secara tidak langsung meletakkan mereka kepada risiko jangkitan yang lebih teruk.

"Ada juga yang salah faham apabila mereka perlu mengambil vaksin Pfizer untuk dapatkan dos penggalak sedangkan Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan penerima Sinovac juga boleh menerima dos penggalak jenis Pfizer.

"Selain itu, apabila sekarang ini kita hanya perlu akses laman tertentu macam Covidnow untuk mendapatkan maklumat terkini menyebabkan semakin ramai malas ambil tahu, ambil ringan dan menganggap keadaan semasa sudah terkawal berbanding sebelum ini statistik harian diperolehi terus daripada pelbagai platform media menerusi pengumuman KKM.

"Badi, bagi saya promosi dan pendidikan kesihatan perlu giat dilaksanakan dengan lebih efektif seperti yang dilakukan ketika mempromosikan pengambilan suntikan vaksin dos pertama dan kedua," katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mendedahkan data dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menunjukkan 40 peratus daripada janji temu yang diberikan melalui MySejahtera tidak hadir mengambil dos penggalak.

Katanya, puncanya disebabkan orang ramai khususnya warga emas masih teragak-agak dan keliru sama ada mahu menerima suntikan dos penggalak atau sebaliknya.

Untuk rekod, sehingga kini, 1,042,234 jumlah kumulatif dos penggalak sudah diberikan sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dos penggalak dilaksanakan 13 Oktober lalu dengan mengutamakan golongan berisiko seperti petugas barisan hadapan, warga emas, pesakit kurang daya tahan serta individidu yang mempunyai komorbiditi

Program itu turut diperluaskan kepada mereka yang berusia 40 tahun ke atas bermula 10 November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 2:42 PM