KEROSAKAN yang berlaku di Mayfield, Kentucky akibat puting beliung. FOTO AFP
KEROSAKAN yang berlaku di Mayfield, Kentucky akibat puting beliung. FOTO AFP
AFP

Mayfield (Amerika Syarikat): Puting beliung yang melanda enam negeri di Amerika Syarikat semalam menyebabkan lebih 80 terbunuh, manakala berpuluh lagi hilang dalam insiden yang disifatkan Presiden Joe Biden sebagai antara ribut terbesar dalam sejarah Amerika.

"Ia satu tragedi, kita belum tahu berapa ramai yang terkorban dan tahap kerosakan" kata Biden.

Pasukan mencari dan menyelamat bertungkus lumus membantu rakyat yang masih terkejut dengan menggeledah bangunan di seluruh kawasan tengah Amerika Syarikat untuk mencari mangsa yang mungkin masih hidup.

Di Kentucky sahaja, lebih 70 mangsa dipercayai terbunuh, kebanyakannya pekerja kilang lilin, manakala sekurang-kurangnya enam maut di gudang Amazon di Illinois yang ketika itu bekerja syif malam memproses pesanan menjelang Krismas.

"Ini adalah kejadian puting beliung paling teruk, dahsyat dan menyebabkan ramai terkorban dalam sejarah Kentucky. Kita mungkin kehilangan lebih daripada 100 mangsa.

"Kemusnahan yang berlaku tidak pernah dilihat dalam hidup saya, dan saya hilang kata-kata untuk menyatakannya," kata Gabebor Negeri, Andy Beshear kepada pemberita.

Beshear turut mengumumkan amaran kecemasan di kawasan berkenan.

Pekan Mayfield di Kentucky Barat kosong diibaratkan seperti 'batang mancis', kata Datuk Bandar Kathy O'Nan memberitahu CNN.

Pekan kecil yang mempunyai 10,000 penduduk itu digambarkan umpama 'padang jarak padang tekukur' oleh pegawai apabila banyak bangunan dan kediaman runtuh serta hancur, pokok tumbang manakala kereta terbalik di kawasan padang

Beshear berkata, terdapat kira-kira 110 pekerja berada dalam kilang lilin ketika kejadian yang menyebabkan bumbung runtuh.

Seramai 40 mangsa berjaya diselamatkan, tetapi jika ada yang ditemui masih hidup ia adalah satu keajaiban, katanya.

CNN turut menyiarkan rayuan menyayat hati seorang pekerja kilang yang disiarkan di Facebook.

"Kami terperangkap, tolong, dapatkan bantuan," kata seorang wanita dengan suara bergetar berlatar belakangkan rakan sekerjanya yang kedengaran sedang mengerang.

"Kami di kilang lilin di Mayfield, tolong... Doakan kami"

Wanita itu, Kyanna Parsons-Perez kemudian diselamatkan selepas tersepit di bawah air pancut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 12:18 PM