POLIS mengawal kawasan kejadian. FOTO AFP
POLIS mengawal kawasan kejadian. FOTO AFP
AFP

Washington: Seorang lelaki bersenjata ditembak oleh ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di pintu masuk ibu pejabat Agensi Perisikan Pusat (CIA), pada Isnin.

Lelaki yang tidak dikenal pasti identitinya itu dihalang untuk melepasi pintu pagar untuk ke laman bangunan berkenaan di sini.

Sebelum itu, pasukan keselamatan berusaha selama beberapa jam untuk berunding dengan lelaki itu dan memintanya untuk menyerah diri.

FBI dalam kenyataan berkata, individu itu keluar dari kenderaan dengan senjata dan ditembak oleh pasukan keselamatan.

"Suspek cedera dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

Terdahulu, jurucakap CIA berkata, pihaknya menyedari insiden itu yang berlaku di kawasan terletak beberapa ratus meter dari bangunan utama agensi berkenaan.

Kawalan keselamatan di ibu pejabat berkenaan yang terletak di Langley, Virginia, berhampiran laluan yang sibuk, dipertingkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada 1993, seorang lelaki Pakistan, Mir Aimal Kansi, menembak mati dua kakitangan agensi berkenaan dan mencederakan tiga yang lain.

Ketika kejadian, mangsa berada di dalam kereta dan menunggu di lampu isyarat untuk memasuki laman bangunan CIA.

Kansi melarikan diri ke Pakistan dan hanya ditahan empat tahun kemudian.

Dia kemudian diekstradisi ke Amerika Syarikat di mana dia didakwa atas tuduhan bunuh dan dihukum mati.

Lelaki itu menjalani hukuman mati pada 2002.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 10:39 AM