FOTO AFP
FOTO AFP

Washington DC: Malaysia akan mengutamakan pelarian Syria daripada kumpulan profesional atau separa mahir dalam pengambilan yang akan dilakukan secara berperingkat selama tiga tahun.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Kementerian Dalam Negeri sedang merangka prosedur bagi pengambilan 3,000 pelarian Syria.

“Ini adalah komitmen Malaysia kepada masyarakat antarabangsa,” kata Ahmad Zahid mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menerima 3,000 pelarian Syria, pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di New York, 1 Oktober lalu.

Dianggarkan lebih empat juta penduduk Syria menjadi orang pelarian kerana melarikan daripada perang saudara yang berlaku di negara itu.

Ahmad Zahid, berkata komitmen Malaysia kali ini jauh lebih besar berbanding pernah dilakukan semasa perang di negara Balkan apabila negara ketika itu menerima 200 orang mangsa perang dari Bosnia Herzegovina.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian kepada wartawan Malaysia sebaik memulakan lawatan kerja beliau ke pusat petadbiran Amerika Syarikat.

“Lawatan kali ini adalah atas jemputan kerajaan Amerika Syarikat,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.

Semasa di sini, beliau akan menandatangani dokumen Arahan Presiden Keselamatan Negara No 6 (HSPD-6) bersama Setiausaha Negara AS John Kerry, yang juga antara prosedur terakhir bagi membolehkan Malaysia diterima sebagai negara ke-39 dalam program pengecualian visa untuk melawat Amerika Syarikat.

Pengumuman mengenainya dijangka dibuat ketika lawatan Presiden Barack Obama ke Malaysia yang dijadualkan, bulan depan.

Menurut Ahmad, jika visa dikecualikan, ia terpakai kepada semua golongan rakyat Malaysia yang layak berkunjung ke Amerika Syarikat.

Katanya, Malaysia sudahpun mematuhi sebahagian besar senarai semakan ke arah mendapatkan pengecualian visa tersebut, cuma keperluan tahap penolakan permohonan visa hendaklah tidak melebihi tiga peratus berbanding sekarang berada pada tahap 4.2 peratus.

Tetapi, menurut Ahmad Zahid, keadaan ini lebih bersifat teknikal yang berkait dengan kefahaman semasa mengisi borang permohonan, dan bukannya isu keselamatan.

Timbalan Perdana Menteri berkata perkara ini boleh diatasi dengan baik hasil kerjasama dengan pihak Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur dengan mengadakan program kesedaran kepada ejen pelancong dan orang ramai berhubung prosedur permohonan visa.

Ketika lawatan hari pertama, Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dengan dua agensi perisikan utama Amerika Syarikat iaitu CIA dan FBI.

Timbalan Perdana Menteri berbincang secara berasingan dengan Pengarah CIA, John O Brennan dan Timbalan Pengarah FBI, Mark F Guilano.

Antaranya mengenai aspek kerjasama menangani ancaman keganasan, keselamatan siber dan jenayah siber termasuk jenayah rentas sempadan.

Selain pertukaran maklumat dan risikan, Ahmad Zahid berharap Amerika dapat berkongsi dengan agensi penguat kuasa Malaysia dari segi aspek perisian dan latihan menangani jenayah siber dan keselamatan siber.

Beliau turut memaklumkan bahawa pindaan akan dibuat kepada perundangan sedia ada untuk memantau ruang siber dan media sosial di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri juga mempelawa pihak CIA dan FBI untuk menghadiri Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya pada 21-22 Okt depan serta Persidangan Antarabangsa Mengenai Deradikalisasi pada Januari. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 4:13 PM