Agensi

London: Beberapa firma memberi tindak balas segera berikutan dakwaan WikiLeaks bahawa Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat berjaya menggodam gajet harian, termasuk televisyen Samsung, iPhone dan telefon Android.

Wikileaks menyiarkan 9,000 dokumen yang dikatakan laporan lengkap mengenai CIA yang berjaya menjadikan televisyen Samsung sebagai alat pendengar, menggodam kod kunci iPhone serta Android dan mungkin boleh mengawal kereta.

Dokumen itu meliputi laporan dan peralatan serta perisian menggodam dan kod yang digunakan CIA.

Menurut BBC, Apple dalam kenyataannya menyatakan ia sudah mengatasi sebahagian daripada ciri keselamatan peralatannya yang berkemungkinan terdedah untuk digodam.

“Ciri keselamatan dalam iPhone adalah yang terbaik disediakan kepada pengguna dan kami sentiasa berusaha untuk memastikan keadaan itu berkekalan.

“Produk dan perisian kami dibina untuk memperbaharui aspek keselamatannya dengan 80 peratus pengguna kini menggunakan versi terkini sistem operasi (iOS).

“Analisis kami menunjukkan banyak aspek ‘ancaman’ yang dinyatakan dalam dokumen itu sudah diperbaiki oleh sistem operasi terkini.

“Kami sentiasa mendesak pengguna memuat turun iOS terkini agar sistem keselamatan sentiasa dipertingkat,” kata kenyataan itu.

Samsung yang televisyennya bagi siri F8000 yang dilaporkan digodam CIA dengan kerjasama MI5 (agensi perisikan Britain) berkata: “Melindungi privasi pengguna dan ciri keselamatan peralatan kami menjadi keutamaan Samsung.

“Kami sedar dengan laporan itu (WikiLeaks) dan memandang berat mengenainya.”

Dokumen terbabit juga menyatakan CIA mencipta lebih 1,000 perisian mengintip termasuk, malware, virus dan trojan mensasarkan peralatan elektronik, termasuk sistem operasi komputer Microsoft's Windows.

Microsoft hanya mengeluarkan kenyataan ringkas: “Kami sedar dengan laporan itu dan sedang menilainya.”

Google pula enggan mengulas mengenai dakwaan CIA mampu menembusi, menjangkiti dan mengawal telefon Android manakala Linux Foundation belum memberi kenyataan rasmi.

CIA belum mengesahkan ketulenan dokumen terbabit, namun seorang bekas pengarah agensi itu, Jeneral Michael Hayden, berkata kepada CBS, CIA tidak mengintip rakyat Amerika.

“Saya boleh katakan peralatan ini tidak digunakan terhadap rakyat Amerika.

“Namun ada ‘orang jahat’ di dunia ini yang menggunakan televisyen Samsung,” katanya dalam temuramah dengan stesen televisyen itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 7:12 PM