POLIS di lokasi kejadian tembakan di Langley, Vancouver, Kanada. FOTO Reuters
POLIS di lokasi kejadian tembakan di Langley, Vancouver, Kanada. FOTO Reuters
AFP

Ottawa: Seorang lelaki bersenjata membunuh dua orang dan mencederakan dua yang lain dalam siri tembakan dekat Vancouver sebelum suspek ditembak mati oleh polis, kata pihak berkuasa pada awal pagi Isnin.

Laporan sebelum ini percaya penyerang mungkin menyasarkan gelandangan, tetapi tidak disahkan pihak berkuasa di Langley.

Bandar itu dengan 130,000 penduduk, terletak kira-kira sejam di tenggara Vancouver.

"Saya boleh mengesahkan bahawa empat orang ditembak seorang yang dipercayai lelaki bersenjata bersendirian," kata ketua polis Langley Ghalib Bhayani pada sidang akhbar.

Dalam kejadian itu, dua daripada mangsa maut, manakala seorang wanita dalam keadaan kritikal, dan seorang lagi ditembak di kaki.

Bhayani berkata, pihak berkuasa masih berusaha mengenal pasti mangsa dan suspek untuk menentukan sama ada terdapat sebarang kaitan antara mereka.

Beberapa penduduk Langley menghantar ciapan imej amaran kecemasan yang mereka terima daripada polis pada 6.15 pagi waktu tempatan mengenai siri tembakan di kawasan pusat bandar.

Kemudian mereka menerima makluman bahawa suspek bukan lagi ancaman, tetapi menggesa supaya menjauhi kawasan itu.

Jenayah kekerasan berkaitan senjata api menyumbang kurang daripada tiga peratus keseluruhan jenayah kekerasan di Kanada.

Namun, sejak 2009 kadar perkapita senjata api yang digunakan dengan niat untuk membunuh atau mencederakan meningkat lima kali ganda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 9:25 AM