PENUNJUK perasaan di Columbus membantah insiden remaja perempuan kulit hitam maut ditembak. FOTO AFP
PENUNJUK perasaan di Columbus membantah insiden remaja perempuan kulit hitam maut ditembak. FOTO AFP
BERNAMA

Washington: Remaja perempuan kulit hitam maut ditembak seorang anggota polis dalam satu insiden di Columbus, Ohio, Amerika Syarikat (AS) dan penunjuk perasaan mula berkumpul di luar bangunan polis di bandar itu, lapor Sputnik memetik laporan televisyen tempatan 10TV.

Mangsa dikenali sebagai Makhia Bryant, berusia 16 tahun.

Menurut keluarga remaja itu, mangsa menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan susulan pergaduhan berdekatan rumahnya pada Selasa petang.

Bryant disahkan meninggal dunia di hospital.

Gabenor Columbus menulis di Twitter: "Hari ini seorang remaja perempuan kehilangan nyawa dalam kejadian yang tragis. Kami tidak tahu maklumat lanjut. Terdapat rakaman kamera badan mengenai kejadian itu. Kami sedang berusaha untuk menelitinya secepat mungkin.

"Biro Siasatan Jenayah (BCI) kini sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian. Kami akan berkongsi maklumat sebaik kami memperolehnya. Saya meminta penduduk tenang dan beri ruang kepada BCI untuk menjalankan siasatan."

Kejadian berlaku pada waktu yang hampir sama ketika keputusan mahkamah berhubung kes bekas polis yang membunuh George Floyd dibacakan.

Juri AS di negeri Minnesota mendapati bekas pegawai polis Minneapolis, Derek Chauvin disabitkan bersalah atas pertuduhan pembunuhan tahap kedua dan tahap ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 5:00 PM