GAMBAR Kobe Bryant dipaparkan di layar besar di luar Staples Center. FOTO Reuters
GAMBAR Kobe Bryant dipaparkan di layar besar di luar Staples Center. FOTO Reuters
AFP

SEMBILAN maut dalam nahas helikopter yang membabitkan legenda bola keranjang Amerika Syarikat (AS), Kobe Bryant serta anak perempuannya hari ini di California.

Ketua Sheriff Los Angeles, Alex Villanueva berkata, kesemua lapan penumpang serta juruterbang maut.

“Tiada yang terselamat. Terdapat sembilan orang menaiki helikopter. Juruterbang termasuk lapan individu yang lain,” katanya.

Laporan awal sebelum itu menyatakan, lima maut dalam nahas yang menyaksikan helikopter dinaiki kesemua mangsa terbakar dan terhempas di bandar Calabasas.

Datuk Bandar Los Angeles (LA), Mayor Eric Garcetti mengesahkan anak perempuan Bryant, Gianna yang berusia 13 tahun, antara yang maut dalam insiden itu.

“L.A berkongsi kesedihan dan keluarga Bryant atas kehilangan Gianna yang terbabit dengan tragedi bersama bapa dan rakan-rakannya yang lain,” katanya di Twitter.

Gianna antara empat anak Bryant hasil perkahwinan dengan isterinya, Vanessa.

Bryant adalah Juara NBA lima kali dan beraksi bersama Los Angeles Lakers selama 20 tahun sebelum bersara pada April 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 8:05 AM