FOTO AFP
FOTO AFP
AFP

Washington: Suami isteri rakyat Amerika Syarikat (AS) didakwa pada Khamis atas tuduhan menyokong keganasan selepas cuba menaiki kapal untuk ke Yaman bagi menyertai militan Daesh.

James Bradley, 20, dari New York dan Arwa Muthana, 29, dari Alabama ditahan pada Rabu ketika memasuki kapal kargo di Newark, New Jersey.

Jabatan Kehakiman AS berkata, Bradley menyuarakan pandangan ekstremis sejak 2019 dan berulang kali mengatakan kepada ejen yang melakukan penyamaran bahawa dia mempercayai perjuangan militan Daesh.

Dia juga didakwa memberitahu ejen risikan itu yang dia sanggup melakukan misi serangan ke atas AS, termasuk Akademi Tentera di West Point.

Lelaki itu yang mengahwini Muthana pada Januari lalu menjadi sasaran Biro Siasatan Persekutuan (FBI) selepas rakannya ditahan pada 2019 ketika merancang untuk ke Afghanistan bagi menyertai Taliban, mengikut pertuduhan difailkan di mahkamah.

Sejak itu, Bradley berterusan menyuarakan hasratnya untuk melakukan keganasan sebagai menyokong ideologi radikal Daesh, menyatakan sokongan dan kesetiaannya kepada kumpulan itu dan cubaan ke luar negara untuk bergabung bersama militan berkenaan.

Bradley juga berkongsi propaganda Daesh dengan ejen risikan selain mengenai pilihan buatnya untuk menyertai kumpulan ekstremis atau melancarkan serangan ke atas AS.

Kemuncaknya dia membawa Muthana ke Yaman untuk menyertai kumpulan pengganas Daesh.

"Jika saya tidak menemui mereka (Daesh), saya akan terus sahaja ke Somalia," dia berkata demikian kepada ejen risikan, yang merujuk kepada negara Afrika Timur di mana wujudnya kumpulan pelampau Al-Qaeda berkait Al Shabaab yang menentang pemerintah.

Mahkamah diberitahu kes itu menunjukkan bahawa kumpulan jihad masih cuba memancing perhatian rakyat di AS, walaupun ia sudah dikalahkan tentera AS dan sekutunya di markas Iraq dan Syria.

"Ancaman keganasan di dalam dan di luar negara tetap ada," kata Penolong Peguam Negara John Demers yang memberitahu jabatan itu komited untuk mengambil tindakan ke atas sesiapa yang memberi sokongan terhadap organisasi pengganas.

Bradley dan Muthana berdepan hukuman penjara 20 tahun atas dakwaan bersubahat menyokong secara material organisasi pengganas luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 2:44 PM