AHLI Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Himpunan 6 Dekad Keluarga Besar Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Pusat Konvensyen Bangi, Bangi. FOTO Aizuddin Saad
AHLI Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Himpunan 6 Dekad Keluarga Besar Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Pusat Konvensyen Bangi, Bangi. FOTO Aizuddin Saad
Ahmad Suhael Adnan


PEJABAT Peguam Negara (AGC) digesa mengkaji semula pertuduhan dan hukuman tidak setimpal yang dikenakan terhadap beberapa individu dikaitkan dengan militan Daesh yang melakukan ‘kesalahan kecil’.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan, beberapa individu yang ditahan atau dipenjarakan atas dakwaan ‘menyokong’ Daesh perlu diberi pertimbangan sama dengan 12 tertuduh yang digugurkan pendakwaan menyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Jelas Anwar, antara yang perlu diteliti adalah membabitkan ‘kesalahan kecil’ yang tiada kaitan langsung dengan kumpulan pengganas atau aktiviti keganasan seperti memiliki baju atau lambang Daesh.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan, gesaannya itu tidak bermakna dirinya atau kerajaan berkompromi dengan perbuatan keganasan atau mana-mana kumpulan yang dikategorikan sebagai pengganas.

“Saya telah suarakan kepada pihak berkenaan termasuk Menteri Dalam Negeri bahawa ada tahanan Daesh yang tidak dapat dipastikan kaitannya dengan gerombolan pengganas atau keganasan.

“Ada kes dilaporkan dan saya jumpa ketika saya di Penjara Sungai Buloh, yang saya anggap kes itu kesalahan kecil. Baju, sokongan atau derma kepada jiran yang saya fikir, cukuplah dengan hukuman yang ada sekarang.

“Saya gesa perkara ini dikaji semula dan diberi pertimbangan sama seperti pertimbangan yang dibuat kepada tahanan LTTE,” katanya pada sidang media selepas Himpunan 6 Dekad Keluarga Besar Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Bangi, hari ini.

Beliau mengulas keputusan Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas semalam yang menggugurkan pertuduhan terhadap 12 individu, termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, dikait dengan LTTE.

Dalam kenyataan 13 muka surat, Tommy memberitahu, keputusan itu diambil selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang sedang dihadapi mereka.

Jelasnya, perbuatan memiliki gambar atau perkara lain yang dikaitkan dengan individu atau kumpulan pengganas, tidak menukar seseorang itu menjadi pengganas atau menyokong kumpulan terbabit.

Beliau juga menggesa Menteri Dalam Negeri mengkaji semula setiap kumpulan pengganas setiap enam bulan mengikut suatu perintah di bawah Seksyen 66B (9) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 3:26 PM