PESAWAT Delta Air Lines. FOTO Agensi
PESAWAT Delta Air Lines. FOTO Agensi
Agensi

New York: Seorang lelaki dan wanita berdepan tuduhan jenayah selepas membuka pintu kabin dan mengaktifkan pintu kecemasan ketika menaiki pesawat.

Menurut jurucakap syarikat penerbangan, pasangan terbabit melakukan perbuatan itu ketika pesawat Delta Air Lines dalam persiapan berlepas di landasan Lapangan Terbang LaGuardia, New York menuju ke Atlanta, pagi Isnin lalu.

Lapor New York Times, pasangan itu juga terbang bersama seekor anjing bersaiz besar.

Jurucakap Port Authority of New York and New Jersey, Lenis Valens berkata, anjing berkenaan dihantar ke pusat perlindungan haiwan di Brooklyn selepas kejadian itu.

Katanya, penumpang terbabit Antonio Murdock, 31, dan Brianna Greco, 23, dari Florida, masing-masing berdepan tuduhan jenayah tahap tiga.

"Murdock turut dikenakan tuduhan tambahan dengan kesalahan jenayah tahap kedua dan perbuatan melulu, tahap dua.

"Greco turut diberikan resit untuk mengambil semula anjing itu," katanya.

Seorang individu, Casey Johnson yang menetap di Manhattan dalam perjalanan pulang bertemu keluarganya di Panama City Beach, Florida berkata, dia bertukar tempat duduk dengan pasangan itu dan anjing mereka ketika di pintu pelepasan.

Katanya, pasangan itu tidak melakukan perkara pelik dan kelihatan menyenangkan apabila mereka berbual, namun menyedari mereka sekali lagi bertukar tempat duduk.

"Selepas itu, saya memakai fon kepala dan menyedari kekecohan berlaku tidak lama selepas itu.

"Saya melihat ramai orang berdiri dan empat orang bergerak ke bahagian depan pesawat.

"Juruterbang ada memaklumkan kepada penumpang menggunakan pembesar suara mengenai kejadian pintu dibuka, tetapi tidak memaklumkan ada penumpang keluar dari pesawat itu," katanya kepada CNN.

Menurut Pejabat Peguam Daerah Queens, Murdock masih menunggu perbicaraan di Mahkamah Jenayah Queens, manakala Greco dijangka hadir ke mahkamah pada 21 Mac depan.

Dalam satu kenyataan, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan mengesahkan kejadian dan penahanan pasangan itu. Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 6:10 AM