DOYLE bersama ibunya Chedel. FOTO Agensi
DOYLE bersama ibunya Chedel. FOTO Agensi
Agensi

Victoria: Dua beranak dari Cape Town, Afrika Selatan cukup bertuah apabila hanya mereka berdua sahaja penumpang pesawat syarikat penerbangan Emirates ketika dalam percutian ke Switzerland.

New York Post melaporkan Zoe Doyle, 25 dan ibunya Kimmy Chedel, 59, sangat teruja menjadi penumpang duo tunggal di tempat duduk ekonomi dalam pesawat itu.

Oleh kerana tiada penumpang lain, mereka meluangkan masa untuk merakam video dan mencuba topi pramugari sebagai ganti kebosanan lama menaiki pesawat.

Terbang dari Kepulauan Seychelles ke Switzerland dengan singgah di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Doyle teruja menceritakan kejutan yang luar biasa itu.

"Kami tidak tahu hanya kami sahaja penumpang pesawat. Mungkin kami antara segelintir kecil penumpang bertuah sebegini dalam penerbangan pesawat besar-besaran menuju ke lokasi antarabangsa.

"Oleh kerana ia adalah musim tengkujuh di Seychelles serta hari Krismas, ia mungkin punca tiada siapa yang terbang bersama kami," katanya.

Doyle dan Chedel yang ke Switzerland bagi menyambut perayaan Krismas berkata, penerbangan aneh itu bukan satu-satunya membuatkan mereka bergembira di udara kerana kru kabin turut menyertai.

"Ia sangat menyeronokkan. Kami berbual dengan pramugari dan merakam video lucu dengan mereka.

"Kru juga mengeluarkan kamera Polaroid dan memakaikan ibu saya dengan pakaian seragam kru kabin. Ia sangat menarik," kata Doyle yang berasal dari Montreal, Kanada dan kemudiannya berhijrah ke Cape Town.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 3:27 PM