SALAH satu model pesawat Cessna Caravan. FOTO Agensi
SALAH satu model pesawat Cessna Caravan. FOTO Agensi
Agensi

Anchorage: Seorang remaja mencetuskan panik dalam pesawat komersial yang sedang terbang di Alaska, selepas cuba mengambil alih kawalan pesawat berkenaan.

Tindakan remaja terbabit menyebabkan pesawat Cessna Caravan itu, tiba-tiba menjunam.

Kenyataan rasmi memaklumkan, penumpang pesawat itu yang terkejut membantu menarik remaja terbabit daripada cuba mengawal pesawat itu daripada kawalan juruterbang.

Penumpang lain pula menghalang remaja terbabit untuk meneruskan tindakannya, sebelum juruterbang Joshua Kerch kembali berjaya menstabilkan pesawat.

Media melaporkan sebelum kejadian, remaja berusia 18 tahun itu pada mulanya menghampiri juruterbang dan bertanya bagaimana untuk mengendalikan pesawat.

"Remaja terbabit kemudian meminta untuk duduk di tempat pembantu juruterbang yang kosong," kata jurucakap tentera tempatan Alaska kepada Anchorage News.

Bagaimanapun, permintaan remaja terbabit tidak dipersetujui juruterbang berkenaan.

Susulan kejadian, penumpang lain dalam pesawat lima tempat duduk itu dilaporkan memegang remaja itu, sehingga pesawat selamat mendarat.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika pesawat itu berada pada ketinggian 450 meter, hanya lapan kilometer lagi untuk pesawat itu mendarat.

Dalam pada itu, remaja terbabit mengakui berbuat demikian untuk cuba menamatkan hidupnya.

Pemeriksaan lanjut mendapati dia mempunyai masalah kesihatan.

Suspek kini berdepan dengan tuduhan ugutan jenayah dan tuduhan cubaan bunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 6:31 AM