ALEJANDRA Marisa Rodríguez. FOTO Agensi
ALEJANDRA Marisa Rodríguez. FOTO Agensi
Agensi

Buenos Aires: Peguam dan wartawan berusia 60 tahun, Alejandra Marisa Rodríguez dipilih untuk mewakili wilayah Buenos Aires dalam pertandingan Miss Argentina.

Pemenang Miss Argentina akan mewakili negara itu ke Miss Universe.

Memetik laporan Merco Press, Rodriguez mengatasi 34 pesaing lain untuk melayakkan diri ke pertandingan Miss Argentina pada 25 Mei depan. Calon dari wilayah lain, berumur antara 18 dan 40 tahun.

Penyertaan Rodriguez dalam pertandingan itu hanya selepas perubahan peraturan pada akhir tahun lalu, yang menghapuskan had umur.

Sejak 1958, peserta mestilah berumur antara 18 dan 28 tahun. Hari ini, peserta hanya perlu mencapai umur yang sah.

Alejandra Rodríguez belajar bidang kewartawanan dan kemudiannya menamatkan pengajian sebagai peguam. Dia tidak berkahwin mahupun menjalin hubungan dengan mana-mana individu.

Wanita itu berkata, dia biasanya pergi berjalan-jalan, melakukan aktiviti fizikal dan makan makanan yang sihat.

"Saya sangat teruja dan berbesar hati memenangi gelaran Miss Buenos Aires 2024. Saya mahu menunjukkan kepada semua wanita bahawa kecantikan tidak mempunyai usia dan kita boleh memecahkan halangan.

"Saya berlatih secara fizikal, bekerja pada keyakinan saya, dan meningkatkan kemahiran saya di atas pentas. Saya mahu menunjukkan bahawa pemerkasaan wanita tidak mempunyai had," katanya dalam temu bual..

Menurutnya, antara faktor kejayaannya adalah tahap keyakinan yang tinggi.

"Saya rasa panel juri melihat keyakinan saya dan semangat saya untuk mewakili wanita generasi saya. Saya berazam untuk memperjuangkan mahkota Miss Universe Argentina 2024.

"Kecantikan tidak mempunyai tarikh luput, untuk menjadi cantik anda hanya perlu mempercayai diri sendiri dan menjadi tulen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 3:52 PM