ANGGOTA pasukan keselamatan berkawal ketika proses pemindahan banduan di penjara itu ke penjara lain. FOTO AFP
ANGGOTA pasukan keselamatan berkawal ketika proses pemindahan banduan di penjara itu ke penjara lain. FOTO AFP
AFP

Caracas: Venezuela berjaya merampas kembali kawalan Penjara Tocoron di negeri utara Aragua daripada geng yang berpengaruh dalam komuniti antarabangsa.

Kejayaan susulan operasi besar-besaran disertai 11,000 anggota keselamatan negara.

Seorang wartawan penyiasat mendedahkan, penjara itu dijadikan ibu pejabat kumpulan Tren de Aragua.

Katanya, penjara itu dilengkapi dengan kemudahan seperti zoo, kolam renang dan bilik perjudian.

Dalam satu kenyataan, kerajaan mengucapkan tahniah kepada pegawai penguat kuasa undang-undang kerana memperoleh semula kawalan penuh penjara terbabit.

"Penjara ini akan menjalani proses penyusunan semula dan akan dipindahkan sepenuhnya.

"Operasi terbabit membubarkan pusat konspirasi dan jenayah," katanya.

ANGGOTA pasukan keselamatan dikerahkan ke penjara berkenaan. FOTO AFP
ANGGOTA pasukan keselamatan dikerahkan ke penjara berkenaan. FOTO AFP

Kerajaan berkata, fasa kedua operasi mencari dan menangkap penjenayah buruan juga akan digerakkan selepas didapati beberapa banduan melarikan diri semasa operasi itu.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Remigio Ceballos memberitahu VTV, banduan sedang dipindahkan ke kemudahan lain.

Tren de Aragua, kumpulan tempatan paling berkuasa di Venezuela terbabit dalam jenayah di seluruh negara dan melebarkan pengaruhnya ke negara jiran.

Menurut siasatan wartawan Venezuela, Ronna Risquez, kumpulan itu dianggotai kira-kira 5,000 ahli.

Risquez memberitahu AFP kumpulan itu mengambil kesempatan krisis ekonomi dan politik Venezuela sejak sedekad lalu, untuk mengembangkan operasi dan kini berkuasa sekurang-kurangnya di lapan negara Amerika Latin lain.

Ia muncul sedekad lalu dan terbabit dalam jenayah penculikan, rompakan, pengedaran dadah, pelacuran dan peras ugut selain perlombongan emas secara haram.

Badan pemikir InSight Crime berkata, kumpulan itu juga pemain utama dalam penyeludupan migran.

Menurut media tempatan, ketua kumpulan itu, Hector Guerrero Flores menjalani hukuman 17 tahun di penjara kerana membunuh dan mengedar dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 10:56 AM