FOTO AFP
FOTO AFP
Reuters

KRISIS ekonomi Venezuela yang menyebabkan negara itu muflis manakala rakyatnya jatuh miskin juga membawa kesan kepada negara jiran, terutama Colombia berikutan pemberontak kini merekrut pendatang negara itu menjadi anggota mereka.

Dianggar 1.3 juta rakyat Venezuela menyeberang secara haram ke Colombia sejak beberapa tahun lalu, melarikan diri daripada desakan hidup yang sentiasa kelaparan akibat tiada makanan, tiada bekalan air dan elektrik.

Mereka tidak bertujuan menyertai pemberontak mengangkat senjata memerangi tentera kerajaan namun sebahagian pendatang itu tidak dapat mengelak desakan untuk terus hidup.

Peperangan masih berlaku di Colombia walaupun selepas perjanjian damai 2016 dengan pemberontak FARC bagi menamatkan konflik lima dekad. Anggota FARC, serpihan Tentera Pembebasan Kebangsaan (ELN), pemberontak berhaluan kanan dan sindiket pengedar dadah berperang sesama sendiri selain dengan tentera.

ANGGOTA unit Ernesto Che Guevara daripada gerila Tentera Pembebasan Kebangsaan (ELN) menjalani latihan dalam hutan di Choco, Colombia. FOTO AFP
ANGGOTA unit Ernesto Che Guevara daripada gerila Tentera Pembebasan Kebangsaan (ELN) menjalani latihan dalam hutan di Choco, Colombia. FOTO AFP

Beberapa pendatang Venezuela memberitahu mereka menerima tawaran menyertai kumpulan bersenjata sebaik memasuki Colombia melalui laluan haram sepanjang sempadan 2,219 kilometer.

“Mereka kata kami akan mendapat pakaian, makanan, wang, tempat tinggal dan telefon.

“Saya tertarik namun takut. Saya ada dengar cerita orang jahat menawarkan semua itu untuk menyertai mereka. Saya menolak,” kata Gregorio, 20.

Eddinson, 26, pendatang dari Aragua di Venezuela, berkata dia dan tiga rakannya dihampiri lelaki bersenjata yang memperkenalkan diri sebagai kumpulan separa tentera ketika hendak melintasi sempadan.

KOMANDER Uriel, ketua unit Ernesto Che Guevara daripada gerila Tentera Pembebasan Kebangsaan (ELN) ketika ditemu ramah dalam hutan di Choco, Colombia yang tidak pernah mendedahkan wajahnya kepada kamera. FOTO AFP
KOMANDER Uriel, ketua unit Ernesto Che Guevara daripada gerila Tentera Pembebasan Kebangsaan (ELN) ketika ditemu ramah dalam hutan di Choco, Colombia yang tidak pernah mendedahkan wajahnya kepada kamera. FOTO AFP

Menurutnya, ketua kumpulan lapan lelaki bersenjata itu memberitahu latihan mengambil masa enam bulan dan mereka akan diberi gaji berdasarkan pangkat.

Kumpulan pemberontak terbabit sebelum ini membiayai perjuangan mereka melalui hasil jualan dadah dan peras ugut namun kebelakangan ini, mengaut keuntungan melalui kebanjiran pendatang haram.

Tentera dan agensi bantuan kemanusiaan mengakui ELN mengawal hampir seluruh laluan menyeberang sempadan ke Colombia dan menuntut bayaran daripada pendatang serta peniaga selain merekrut mereka.

Pemerintah Briged Ke-30 tentera Colombia di bandar Cucuta, Kolonel Rodolfo Morales, berkata sindiket pengedar dadah juga mengupah pendatang Venezuela untuk bekerja di ladang coca yang digunakan untuk menghasilkan kokain.

SEORANG anggota membersihkan senjata api. FOTO AFP
SEORANG anggota membersihkan senjata api. FOTO AFP

Colombia ialah pengeluar kokain terbesar dunia.

Antonio, 33, pendatang dari Carabobo di tengah Venezuela, berkata sebaik menyeberang masuk ke Colombia, dia ditawarkan wang oleh lelaki tidak dikenali untuk ke hutan dekat Tibu, 115 kilometer dari Cucuta di wilayah Catatumbo untuk memetik daun coca.

Lima pemerintah tentera Colombia mengakui sehingga 30 peratus anggota pemberontak di sempadan sebelah timur adalah rakyat Venezuela yang menjadi tentera upahan demi makanan dan wang.

“Jumlah anggota pemberontak kini bertambah. Ia ancaman utama kepada negara,” kata Kolonel Arnulfo Traslavina, pemerintah pasukan khas di negeri Arauca.

Menurut mereka, 10 peratus anggota pemberontak di seluruh Colombia adalah rakyat Venezuela.

BERLATIH menembak dalam hutan di Choco, Colombia. FOTO AFP
BERLATIH menembak dalam hutan di Choco, Colombia. FOTO AFP

Jurucakap kerajaan, Jeneral Luis Fernando Navarro, berkata gabungan anggota FACR dan ELN kira-kira 8,400 orang, jumlah yang kecil berbanding 250,000 anggota tentera Colombia.

Namun, sukar diperangi kerana mereka beroperasi dalam hutan Colombia

yang saiznya gabungan keluasan Perancis dan Sepanyol.

Tentera mengakui menangkap sejumlah rakyat Venezuela, termasuk yang berpaling tadah selain yang ditembak mati.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 10:30 AM