KENDERAAN berperisai dilihat memasuki penjara Pusat Penjara Wilayah Timur La Pica. FOTO Agensi
KENDERAAN berperisai dilihat memasuki penjara Pusat Penjara Wilayah Timur La Pica. FOTO Agensi
AFP

Caracas: Pasukan keselamatan Venezuela berjaya menawan semula penjara keempat yang dikuasai banduan, selepas ketua kumpulan penjenayah menyerah diri, menurut kementerian dalam negeri.

Kementerian itu berkata, pasukan keselamatan mengambil alih Pusat Penjara Wilayah Timur yang dikenali sebagai 'La Pica' di negeri Monagas pada subuh, sambil memaklumkan yang kumpulan penjenayah menjadikan pusat itu sebagai 'pusat pemerasan' dari dalam tembok.

Saluran televisyen VTV menyiarkan gambar kenderaan berperisai memasuki penjara dan banduan berbaris keluar dalam keadaan tidak berbaju serta tangan diletakkan di belakang kepala.

"Penjara La Pica kini dalam keadaan terkawal," kata Menteri Remigio Ceballos kepada VTV.

Katanya, terdapat 1,496 banduan di penjara itu yang akan dipindahkan buat sementara waktu ke pusat lain dan sebaik keseluruhan proses kehakiman disahkan, mereka akan dipenjarakan semula mengikut keputusan mahkamah.

Menurutnya, ketika serbuan itu, pasukan merampas 171 senjata, empat bom tangan, bom gas pemedih mata, 56 peluru, 1,200 katrij berbeza dan 120 telefon bimbit yang digunakan untuk memeras ugut wang dari penjara.

"Kami telah membongkar pusat pemerasan yang dikendalikan menerusi telefon untuk mengancam keselamatan penduduk," kata Ceballos merujuk kepada kegiatan jenayah yang meluas di negara itu.

La Pica ialah pusat tahanan keempat yang dikuasai semula oleh pihak berkuasa sejak 20 Sept lalu selepas penjara Tocoron di negeri Aragua, yang 'diurus' Aragua Train iaitu organisasi jenayah multinasional yang mengkhusus dalam penculikan, pemerasan dan pengedaran dadah.

Ia disusuli penjara Tocuyito, penjara terbesar dalam negara yang terletak di tengah negeri utara Carabobo dan penjara Puente Ayala di negeri timur Anzoategui.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 11:22 AM