GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
AFP

CARACAS: Kira-kira 65 banduan berjaya melarikan diri dari sebuah penjara di Pulau Margarita, Venezuela semalam, menyebabkan kawasan pelancongan terkenal itu terpaksa dikawal ketat, kata pihak berkuasa.

Ketua zon tentera Nueva Esparta, Naib Laksamana Alexander Velasquez berkata, pihaknya bagaimanapun berjaya menahan semula lima orang daripada banduan terbabit, lapor AFP.

Menurutnya, seramai 2,200 anggota keselamatan terpaksa dikerahkan ke seluruh kawasan pulau berkenaan untuk mengesan banduan yang masih melarikan diri.

Media tempatan melaporkan, dua pengawal penjara cedera akibat ditikam dan banduan terbabit turut mencuri beberapa senjata dan peluru serta sebuah motosikal.

Datuk Bandar Maneiro, Morel Rodriquez menerusi akaun Twitter berkata, seluruh kawasan itu dikawal ketat dan pihak berkuasa melakukan beberapa sekatan jalan untuk memastikan keadaan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 10:53 AM