GAJAH dipindahkan untuk diselamatkan dari kemarau. FOTO AP
GAJAH dipindahkan untuk diselamatkan dari kemarau. FOTO AP
AP

Harare: Zimbabwe mula memindahkan lebih 2,500 haiwan liar dari selatan ke penempatan baharu di utara negara itu untuk menyelamatkan hidupan terbabit daripada kemarau kerana kemusnahan akibat perubahan iklim.

Kira-kira 400 ekor gajah, 2,000 kijang, 70 zirafah, kerbau, seladang serta kuda belang masing-masing 50 ekor, 10 singa dan sekumpulan 10 anjing liar adalah antara haiwan yang dipindahkan dari Save Valley Conservancy di Zimbabwe ke tiga konservasi utara, Matusadonha dan Chizarira dalam salah satu latihan penangkapan dan pemindahan haiwan hidup terbesar di selatan Afrika.

Operasi dinamakan Project Rewild Zambezi itu dibantu menggunakan helikopter adalah kali pertama dalam tempoh 60 tahun Zimbabwe memulakan pergerakan dalaman besar-besaran hidupan liar.

Jurucakap Pihak Berkuasa Pengurusan Taman Negara dan Hidupan Liar Zimbabwe, Tinashe Farawo berkata, kekurangan air menyebabkan hidupan liar perlu dipindahkan kerana habitat haiwan itu kering akibat kemarau berpanjangan.

Katanya, agensi taman negara mengeluarkan permit untuk operasi itu.

"Kami melakukan ini untuk mengurangkan tekanan. Selama bertahun-tahun kami memerangi pemburuan haram, namun kali ini perubahan iklim muncul sebagai ancaman terbesar kepada hidupan liar kami.

"Banyak taman terlalu padat dan hanya ada sedikit air atau makanan hingga menyebabkan haiwan itu memusnahkan habitat serta menceroboh penempatan manusia untuk mendapatkan makanan sehingga mengakibatkan konflik tidak henti-henti," katanya.

Katanya, satu pilihan ialah pemusnahan untuk mengurangkan bilangan hidupan liar, namun kumpulan pemuliharaan membantah kerana langkah itu kejam.

"Kali terakhir Zimbabwe melakukan pemusnahan pada 1987," katanya.

Pemindahan besar-besaran itu disokong Great Plains Foundation, sebuah organisasi bukan kerajaan khusus untuk memulihara dan membangunkan habitat semula jadi di Afrika melalui inisiatif pemuliharaan inovatif, menurut laman webnya.

Organisasi itu bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Pengurusan Taman Negara dan Hidupan Liar Zimbabwe; pakar tempatan; Pusat Sains Forensik Alam Sekitar, Universiti Washington-Seattle dan Jabatan Zoologi, Universiti Oxford.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2022 @ 11:40 AM