GAMBAR Hiasan.
GAMBAR Hiasan.
AFP

MOGADISHU: Kumpulan Al-Shabaab mengaku menyerang pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Somalia hari ini manakala satu konvoi tentera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut diserang dalam kejadian berasingan.

Al-Shabaab menyerang pangkalan AS di Baledogle, kira-kira 110 kilometer dari barat laut Mogadishu dengan meletupkan bom sebelum beberapa penyerang melepaskan tembakan.

“Pada awal pagi ini, sekumpulan askar elit melancarkan serangan berani terhadap pangkalan AS.

“Selepas melepasi kawasan yang dikawal ketat, pejuang menyerbu masuk dan bertempur sengit dengan tentera musuh,” kata Al-Shabaab dalam satu kenyataan.

Pangkalan itu adalah lokasi operasi dron AS terhadap Al-Shaabab yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Al-Qaeda dan Daish yang menguasai sebahagian Somalia.

Dalam satu kejadian berasingan sebuah konvoi yang membawa tentera PBB dari Itali dilaporkan diserang oleh sebuah bom kereta di Mogadishu dan kemungkinan ada askar yang terkorban.

Bagaimanapun, belum ada laporan mengenai angka korban atau kecederaan dalam dua serangan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 8:13 PM