BIDEN ketika menyampaikan ucapan di Wilmington, Delaware selepas diumumkan pemenang. FOTO AFP
BIDEN ketika menyampaikan ucapan di Wilmington, Delaware selepas diumumkan pemenang. FOTO AFP
AFP

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) yang dipilih Joe Biden bersiap sedia membentuk pasukan pakar yang akan bantu memimpin negara itu dalam menghadapi wabak Covid-19.

Beliau mengumumkan perkara berkenaan ketika ucapan pertamanya selepas ditabal pemenang pilihan raya presiden pada Sabtu, sekali gus mengulangi keutamaannya dalam menangani wabak itu sejak awal.

"Pada Isnin ini saya akan menamakan kumpulan saintis dan pakar sebagai penasihat yang membantu untuk menjadikan pelan Biden-Harris kepada rangka tindakan sebenar, bermula 20 Januari 2021," katanya kepada penyokong yang merujuk hari beliau mengangkat sumpah.

Covid-19 menyebabkan 237,000 kematian di AS dan kes sudah merebak ke seluruh negara.

Menurut statistik Johns Hopkins University, wabak itu sudah menghampiri 10 juta kes dan tidak menunjukkan tanda pengurangan ketika ini.

Sementara itu, China enggan mengucapkan tahniah atas kemenangan Joe Biden dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) dan mengatakan bahawa keputusan penuh belum ditentukan.

Walaupun penyandangnya Donald Trump belum mengakui dan melancarkan beberapa cabaran undang-undang, banyak pemimpin dunia mengucapkan tahniah kepada Biden dan pasangannya Kamala Harris selepas Demokrat diumumkan sebagai pemenang dan perayaan spontan diraikan di bandar AS.

Empat tahun Trump di Rumah Putih dikenang dengan perang perdagangan yang mahal dan hubungan yang semakin dingin dengan China, dengan kedua-dua kuasa itu salah menyalahkan bermula dari pandemik Covid-19 kepada rekod hak asasi manusia Beijing di Xinjiang dan Hong Kong.

Selain China, Rusia dan Mexico turut mengambil langkah sama untuk menunggu keputusan rasmi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 6:31 AM