Penentu masa digital yang dipasang di tandas. Foto Agensi
Penentu masa digital yang dipasang di tandas. Foto Agensi
Agensi

Beijing: Syarikat teknologi yang berpangkalan di sini, Kuaishou mencetuskan kemarahan netizen China selepas video penentu masa digital yang dipasang di tandas pekerja menjadi tular di media sosial baru-baru ini.

OddityCentral melaporkan, alat digital itu tergantung di setiap tandas dengan sensor kecil yang dipasang di pintu tandas untuk memberi isyarat apabila tiba masanya.

Pengguna media sosial China mengecam syarikat itu kerana memantau dan menetapkan waktu pekerjanya di tandas untuk meningkatkan produktiviti dan keuntungan dengan beberapa pihak menyifatkan ia melanggar hak asasi manusia.

Sebahagian yang lain menyokong tindakan itu dengan alasan beberapa pekerja menyalahgunakan tandas, menggunakannya sebagai peluang untuk menggunakan telefon.

Selepas banyak maklum balas dalam talian negatif diterima, Kuaishou kemudiannya mengeluarkan penjelasan untuk menenangkan keadaan.

Di dalam siaran akhbar rasmi, platform perkongsian video dalam talian, mereka mendakwa penentu masa itu bukan bertujuan mengehadkan penggunaan tandas oleh pekerja, sebaliknya ia penyelesaian untuk masalah kekurangan tandas yang 'serius'.

Bangunan menempatkan pejabat itu dilaporkan mengalami kekurangan tandas kerana rekaannya, menyebabkan kemudahan baru tidak dapat dibina.

Syarikat itu memutuskan untuk memasang penentu masa, yang juga berfungsi sebagai pengira, untuk melihat berapa ramai orang yang menggunakan tandas dan tempoh penggunaannya.

Katanya, ia bagi menentukan berapa banyak tandas mudah alih yang perlu disediakan untuk menampung kegunaan kakitangannya.

Bagaimanapun, netizen berpendapat, syarikat itu hanya berminat untuk meningkatkan keuntungannya dengan apa cara sekali pun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 4:17 PM