KUBUR yang digali di tapak perkuburan di Johannesburg. FOTO AFP
KUBUR yang digali di tapak perkuburan di Johannesburg. FOTO AFP
AFP

JOHANNESBURG: Kementerian Kesihatan Afrika Selatan merekodkan lebih 500,000 kes Covid-19 sekali gus menjadikan negara berkenaan paling teruk dilanda wabak itu.

Semalam, Afrika Selatan dilaporkan menjadi pusat wabak maut di benua itu dengan lebih separuh daripadanya disahkan dijangkiti pandemik maut berkenaan.

Menteri Kesihatan Zweli Mkhize hari ini berkata, Afrika Selatan melepasi angka setengah juta dengan keseluruhan kes kumulatif yang positif Covid-19 ialah sebanyak 503,290.

Lebih daripada satu pertiga kes positif direkodkan di wilayah Gauteng, iaitu hub kewangan Afrika Selatan.

Jumlah korban adalah sebanyak 8,153, namun penyelidik tempatan merekodkan lonjakan hampir 60 peratus membabitkan keseluruhan bilangan kematian semula jadi dalam tempoh beberapa minggu ini.

Penyelidik tempatan juga berpendapat mangsa yang maut akibat Covid-19 itu jauh lebih tinggi daripada rekod rasmi.

Sementara itu, Presiden, Cyril Ramaphosa berkata, kadar kes kematian di Afrika Selatan berada pada paras 1.6 peratus yang disifatkan jauh lebih rendah daripada rekod global biasa.

"Walaupun Afrika Selatan merekodkan kes keseluruhan Covid-19 kelima tertinggi secara global, namun bilangan kematian kita hanya berada pada tahap 36 tertinggi daripada nisbah populasi," katanya.

Pihak berkuasa kesihatan menjangkakan peningkatan kes selepas tindakan melonggarkan perintah larangan secara berperingkat yang dikuatkuasakan pada 27 Mac iaitu ketika fasa awal penularan pandemik itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 1:49 PM