Kakitangan kesihatan memeriksa pesakit yang ditempatkan sementara di luar bahagian kecemasan hospital di Hong Kong. - FOTO AFP
Kakitangan kesihatan memeriksa pesakit yang ditempatkan sementara di luar bahagian kecemasan hospital di Hong Kong. - FOTO AFP
Reuters

Bengaluru: Asia melepasi angka 1 juta bagi kematian akibat Covid-19 hari ini, berdasarkan pengiraan Reuters.

Jumlah kematian di Asia, yang menempatkan lebih separuh populasi dunia, mencecah 1,000,045, menyumbang 16 peratus daripada kematian global berkaitan Covid-19.

Kes baharu kekal pada paras rekod atau menghampiri rekod baharu di Malaysia, Singapura, Korea Selatan, Thailand dan Vietnam, namun menurun di India, Indonesia dan Filipina.

Di China, walaupun ia melaksanakan pendekatan dinamik 'sifar Covid' dengan sekatan ketat untuk warganya, ia masih berdepan peningkatan kes.

Kematian terus meningkat di negara Asia Selatan seperti Jepun, Korea Selatan dan Hong Kong.

Kematian akibat Covid-19 di Hong Kong terus meningkat dengan purata 200 maut setiap hari pada minggu lalu, dengan jumlah kematian tinggi dalam kalangan warga emas yang tidak divaksinasi.

India yang mencatatkan hampir 52 peratus daripada jumlah kematian akibat Covid-19 di Asia, merekodkan penurunan ketara untuk kes baharu dan kematian sejak bulan lalu.

Ia melaporkan kurang 5,000 kes baharu dan 200 kematian sehari dalam tempoh empat hari ini, berbanding pada kemuncak Januari lalu dengan lebih 300,000 kes baharu dan 1,000 kematian sehari.

Setakat ini, China, Singapura dan Korea Selatan telah memvaksinasi lebih daripada 85 peratus populasi mereka dengan dua dos, tetapi kurang daripada 40 peratus penduduk di Myanmar, Uzbekistan dan Kyrgyzstan telah divaksinasi sepenuhnya, menurut analisis Reuters dari Our World in Data.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 5:39 PM